Persidangan mengenai "Perbankan Pusat dan Pembangunan Mapan dalam Abad ke-21"

Embargo: Untuk siaran segera
24 Ogo 2000 Siaran Akhbar

Bagi Memperingati Penubuhan Kerusi Tun Ismail Ali dalam Bidang Ekonomi Monetari dan Kewangan Di Universiti Malaya

Bank Negara Malaysia (BNM) akan menganjurkan satu persidangan peringkat tertinggi bertujuan untuk membincangkan isu-isu dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh bank-bank pusat dan penggubal-penggubal dasar di abad ke-21. Persidangan ini adalah anjuran bersama dengan Persatuan Ekonomi Malaysia dan akan berlangsung pada 28 – 30 Ogos 2000 di Hotel Hilton Kuala Lumpur. Persidangan ini dianjurkan sempena dengan penubuhan "Kerusi Tun Ismail Ali dalam Bidang Ekonomi Monetari dan Kewangan" di Universiti Malaya. Kerusi ini ditubuhkan oleh BNM sebagai satu penghormatan kepada Allahyarham Tun Ismail Mohamed Ali, rakyat Malaysia yang pertama menyandang jawatan sebagai Gabenor BNM.

Allahyarham Tun Ismail menyandang jawatan Gabenor BNM dari tahun 1962 – 1980, di mana beliau telah membentuk tradisi yang berteraskan integriti, kecekapan dan kecemerlangan yang menyediakan asas bagi BNM untuk menjadi satu institusi yang terunggul di negara ini. Semasa bertugas di BNM, Tun Ismail telah memainkan peranan yang besar dalam pembentukan asas yang kukuh dalam sektor kewangan. Tun Ismail sangat dihormati dan dikagumi di peringkat antarabangsa, terutamanya di kalangan komuniti bank pusat. Selepas bersara dari BNM, Tun Ismail terus memberi sumbangan kepada negara dengan berkhidmat sebagai Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, sebuah perbadanan yang ditubuhkan oleh Kerajaan untuk menerajui usaha bagi meningkatkan penyertaan kaum Bumiputra dalam bidang ekonomi. Tun Ismail telah pulang ke rahmatullah pada 6 Julai 1998.

Proses globalisasi yang intensif dan kemajuan teknologi yang pesat pada abad yang ke-21 telah mengemukakan cabaran baru kepada pegawai-pegawai bank pusat dan penggubal-penggubal dasar. Sehubungan dengan itu, Persidangan ini juga menyediakan satu forum bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan dengan bank pusat dan pembangunan ekonomi yang berterusan, iaitu dua bidang yang Tun Ismail telah memberi sumbangan besar semasa hayat beliau. BNM akan menemukan pegawai-pegawai kanan bank pusat, pengawalselia dan ahli-ahli akademik terkenal akan membincangkan isu-isu tersebut.

YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri, akan menyampaikan ucap utama dasar di persidangan tersebut pada 29 Ogos 2000. YB Tun Daim Zainuddin, Menteri Kewangan dan Menteri Tugas-Tugas Khas akan menyampaikan ucapan Makan Malam mengenai pembiayaan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan pada 28 Ogos 2000.

Topik-topik dan isu-isu perbincangan dalam Persidangan tersebut termasuklah bidang-bidang berkaitan pengaliran modal dan rejim pertukaran mata wang, prospek mata wang unggul serantau, perubahan peranan sektor perbankan, cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pasaran modal, pembangunan ekonomi yang berterusan, proses liberalisasi perdagangan dan cabaran-cabaran polisi lain bagi bank pusat dalam ekonomi baru pada abad ke-21 ini. Di antara penceramah-penceramah terkenal termasuklah :
 

  • Tuan Yang Terutama Dr. Supachai Panitchpakdi, Timbalan Perdana Menteri Thailand dan Menteri Perdagangan, yang juga akan dilantik sebagai Ketua Pengarah Organisasi Perdagangan Dunia (WTO);
  • Gabenor-gabenor bank pusat Indonesia, China, Taipei dan Malaysia;
  • Ahli Lembaga Polisi, Bank of Japan;
  • Bekas Gabenor-gabenor Bank Pusat Australia dan Filipina;
  • Profesor Robert Mundell, Pemenang Anugerah Nobel 1999;
  • Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti dan Hadapan Hong Kong dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia;
  • Sir Alan Walters, Timbalan Pengerusi AIG International Ltd;
  • Profesor Joseph Stiglitz, bekas Ketua Ekonomi Bank Dunia; dan
  • Profesor Jeffrey Sachs dan Professor Dani Rodrik dari Universiti Harvard.

Program persidangan adalah dilampirkan bersama.

Oleh itu, Persidangan ini akan memberi peluang kepada pegawai-pegawai kanan Kerajaan dan BNM, ahli-ahli akademik tempatan dan wakil-wakil daripada institusi-institusi kewangan untuk berbincang mengenai isu-isu tersebut dengan penceramah-penceramah yang terkenal ini dan seterusnya menyumbang ke arah pemahaman yang lebih luas mengenai isu-isu tersebut.


Bank Negara Malaysia
24 Ogos 2000

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?