Persidangan Serantau Mengenai Iklim Pelaburan dan Daya Saing di Asia Timur, 21 - 22 November 2005, Kuala Lumpur

09 Nov 2005 Siaran Akhbar

Bank Dunia, Unit Perancang Ekonomi dan Bank Negara Malaysia akan bersama-sama menganjurkan Persidangan Serantau Mengenai Iklim Pelaburan dan Daya Saing di Asia Timur pada 21-22 November 2005 di Kuala Lumpur.

Persidangan ini akan membawa bersama pakar antarabangsa, wakil sektor swasta dan penggubal dasar dari rantau Asia Timur untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik mengenai cara-cara menggubal dan melaksanakan dasar bagi menangani kekangan iklim pelaburan.

Pakar dari setiap negara Asia Timur yang telah melaksanakan Penilaian Iklim Pelaburan dengan kerjasama Bank Dunia, akan berkongsi pengetahuan mengenai kekangan iklim pelaburan di negara masing-masing. Manakala pengalaman negara-negara yang telah berjaya menangani kekangan yang serupa akan disampaikan oleh para pakar antarabangsa.

Perbincangan juga akan bertumpu kepada bagaimana pembaharuan dalam iklim pelaburan dapat memberikan kesan ekonomi dan sosial yang lebih baik hasil daripada produktiviti yang lebih tinggi, peningkatan daya saing, pertumbuhan ekonomi dan pembentukan kekayaan yang lebih meluas.

Y.B. Dato' Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia akan menyampaikan ucaptama dan merasmikan persidangan tersebut. Persidangan ini juga akan menyaksikan pembentangan mengenai "Pembaharuan Kewangan dan Iklim Pelaburan" oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Y.Bhg. Tan Sri Dato' Sri Dr Zeti Akhtar Aziz serta "Isu-Isu Utama Iklim Pelaburan di Asia Timur" oleh Encik Homi Kharas, Ketua Ahli Ekonomi dan Pengarah Sektor Asia Timur dan Pasifik, Bank Dunia. Pegawai-pegawai kanan dari China, Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Kemboja, Lao PDR dan Mongolia serta pakar-pakar dari Bank Dunia, Ireland, Jepun, Singapura dan Sepanyol dijangka hadir untuk menyertai persidangan ini.


Bank Negara Malaysia
09 November 2005

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?