Persidangan Statistik Kebangsaan 2012 (MyStats 2012): Mempertingkat Statistik Negara untuk Memenuhi Keperluan Sektor Awam dan Swasta dalam Tempoh Transformasi

Embargo: Untuk siaran segera
09 Nov 2012 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia dan Jabatan Perangkaan Malaysia bersama-sama menganjurkan Persidangan Statistik Kebangsaan (MyStats 2012) pada hari Rabu, 7 November 2012, di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Dengan bertemakan ‘Mempertingkat Statistik Negara untuk Memenuhi Keperluan Sektor Awam dan Swasta dalam Tempoh Transformasi’, penganjuran persidangan ini adalah sejajar dengan inisiatif Malaysia melaksanakan program transformasi ekonomi (ETP) bagi mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi dan bernilai tambah tinggi.

MyStats 2012 bertujuan untuk menyediakan platform bagi perangkawan, penganalisis, ahli ekonomi, penggubal dasar, ahli akademik dan media untuk berkongsi, berbincang dan mengetengahkan isu-isu perangkaan dalam analisis dan penggubalan dasar serta cabaran dalam pengumpulan dan komunikasi mengenai perangkaan. Persidangan ini juga bertujuan untuk memupuk kerjasama lebih kukuh antara perangkawan yang mengumpul data dengan pengguna perangkaan. Langkah ini akan terus mempertingkat pengumpulan data, serta komunikasi dan penggunaan perangkaan.

Persidangan ini dihadiri oleh lebih 150 peserta daripada sektor swasta dan awam serta pengguna dan pengumpul perangkaan. Penceramah terkemuka yang berpengalaman luas dalam bidang pengumpulan dan analisis perangkaan telah berkongsi pandangan dan pengalaman mereka selain mengemukakan cadangan terhadap bidang-bidang yang boleh ditambah baik. Perbincangan semasa persidangan ini juga tertumpu pada perangkaan kewangan, ekonomi dan sosio ekonomi yang lain, yang diperlukan untuk menyokong proses perancangan dan penggubalan dasar dalam tempoh transformasi ekonomi Malaysia. Teks ucapan, kertas kerja dan slaid persidangan boleh didapati di laman sesawang Bank Negara Malaysia: /.


Bank Negara Malaysia
09 November 2012

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?