Persidangan Statistik Serantau Peringkat Tinggi

Embargo: Untuk siaran segera
30 Sep 2014 Siaran Akhbar

Kuala Lumpur berbangga menjadi tuan rumah persidangan statistik serantau peringkat tinggi yang bakal dihadiri oleh penggubal dasar, perangkawan dan peserta industri terkemuka yang akan berkongsi pengetahuan dan pandangan mengenai cara sains statistik boleh menyumbang kepada inovasi dan proses membuat keputusan yang lebih baik.

Persidangan Statistik Serantau ISI (ISI Regional Statistics Conference, ISI-RSC 2014), yang bertemakan “Sains Statistik untuk Masa Depan yang Lebih Baik”, dianjurkan secara bersama oleh International Statistical Institute (ISI) dan Rangkaian Serantau Asia Tenggara ISI; Bank Negara Malaysia; Jabatan Perangkaan Malaysia; dan Institut Statistik Malaysia. Persidangan ini akan diadakan di Sasana Kijang, Kuala Lumpur dari 16 hingga 19 November 2014.

Persidangan ini menghimpunkan lebih daripada 500 perangkawan dan pengamal dari semua bidang, termasuk pegawai bank pusat, pegawai kerajaan, ahli akademik dan pakar industri. Peserta akan diberikan peluang untuk berbincang dan mempertimbangkan penggunaan sains statistik untuk tujuan penggubalan dasar dan pembuatan keputusan. Program persidangan meliputi 60 sesi perbincangan dengan lebih daripada 200 kertas kerja yang akan dibentangkan. Tajuk-tajuk kertas kerja akan merangkumi teori dan metodologi statistik, aplikasi statistik dalam ekonomi, kewangan dan perbankan, statistik rasmi dan pengurusan data, dan pengkomputeran statistik (statistical computing).

Penceramah serantau dan antarabangsa yang terkemuka akan berkongsi pandangan mereka dan berbincang mengenai perkembangan terkini dalam bidang sains statistik. Penceramah utama ialah:

  • Andrew Sheng, Felo Kehormat Fung Global Institute, dipilih oleh majalah TIME pada tahun 2013 sebagai salah seorang daripada 100 individu yang paling berpengaruh di dunia. Beliau akan berkongsi mengenai rangka kerja statistik bagi imbangan pembayaran negara dan kepentingannya kepada penyelidik dan pembuat dasar untuk membuat analisis dan menilai sesebuah ekonomi, kesalinghubungan sektor dan hubungan yang akan membantu penggubalan dasar dan pengurusan kehematan makro;
  • Agus Sudjianto, Pengarah Urusan, Head of Corporate Model Risk dari Wells Fargo Bank, USA. Beliau akan membincangkan isu statistik dan cabaran penyelidikan dalam pengurusan risiko dalam bidang perbankan dan kewangan; dan
  • Pedro Luis do Nascimento Silva, Profesor di Institute for Geography and Statistics, Brazil dan Presiden terpilih ISI. Ceramah beliau akan tertumpu pada kualiti data dan cabaran yang bakal dihadapi dalam kaedah kaji selidik.

Satu seminar sebelum persidangan akan turut diadakan pada 15 November, anjuran Irving Fisher Committee on Central Bank Statistics of the Bank for International Settlements, yang bertajuk Is The Household Sector in Asia Overleveraged: What do the Data Say?. Selain itu, dua kursus pendek iaitu Introduction to Designing Surveys for Policy Evaluation dan Data Mining and Predictive Analytics masing-masing akan diadakan pada 15 dan 20 November.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungan Sekretariat ISI-RSC 2014 (e-mel: [email protected], nombor telefon: 60-3-4252 9100). Anda juga boleh mendaftar secara dalam talian di www.isi-rsc2014.my.

The International Statistical Institute
Jabatan Perangkaan Malaysia
Institut Statistik Malaysia
Bank Negara Malaysia


30 September 2014


 

Mengenai penganjur bersama

The International Statistical Institute

Ditubuhkan pada tahun 1885, International Statistical Institute adalah antara persatuan saintifik tertua yang beroperasi dalam dunia moden. Kejayaannya disebabkan oleh permintaan dari seluruh dunia terhadap maklumat statistik profesional, kepemimpinannya dalam perkembangan kerjaya statistik, dan dedikasi ahli-ahlinya yang kolektif.


Jabatan Perangkaan Malaysia

Jabatan Perangkaan Malaysia diamanahkan dengan tanggungjawab untuk mengumpul, mentafsirkan dan menyebarkan statistik yang terkini dan bertepatan masa untuk memantau prestasi ekonomi dan pembangunan sosial negara.


Institut Statistik Malaysia

Institut Statistik Malaysia bermatlamat untuk menjadi organisasi utama bagi menggalakkan amalan, penyebaran dan penyebarluasan pengetahuan statistik yang wajar demi kebaikan masyarakat.


Bank Negara Malaysia

Bank Negara Malaysia ialah bank pusat Malaysia. Peranan Bank adalah untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan. Ini bertujuan menyediakan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.


Bank Negara Malaysia
30 September 2014

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?