Pertandingan Pidato Piala Gabenor Bank Negara Malaysia Kembali Mencungkil Bakat Kakitangan Sektor Kewangan
Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Pertandingan Pidato Piala Gabenor Bank Negara Malaysia (Pidato Piala Gabenor) peringkat akhir di Sasana Kijang pada 7 Ogos 2023.
Pidato Piala Gabenor pada tahun ini menerima lebih 60 penyertaan mewakili 24 institusi kewangan pada peringkat saringan meskipun telah direhatkan selama tiga tahun berikutan pandemik COVID-19. Tema pidato popular yang menjadi pilihan peserta ialah Pendidikan Kewangan.
Peringkat akhir pertandingan ini menyaksikan lapan peserta daripada enam institusi kewangan menyampaikan pidato masing-masing. Pertandingan Pidato Piala Gabenor pada tahun ini dimenangi oleh Muhammad Za'im bin Mohamad Yusoff daripada Bank Islam Malaysia Berhad dengan tajuk pidato “Kelestarian Kewangan Pemangkin Ekonomi Madani”. Naib johan pula disandang oleh Mohamad Amirul Hafiz bin Mohamad Hassan daripada MSIG Insurance (Malaysia) Bhd, manakala tempat ketiga jatuh kepada Syafi'ah Na'imah binti Samsuddin daripada Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad.
Johan Pidato Piala Gabenor menerima wang tunai sebanyak RM10,000 bersama dengan Piala Pusingan. Manakala naib johan menerima wang tunai RM7,000 dan tempat ketiga RM5,000. Pemenang juga menerima piala iringan, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.
Timbalan Gabenor Dato’ Marzunisham Omar mengalu-alukan usaha jitu BNM dan DBP untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dalam sektor kewangan. Kata beliau, “Pertandingan ini merupakan salah satu inisiatif bagi membudayakan penggunaan bahasa kebangsaan yang berkualiti dalam kalangan warga institusi kewangan. Bahasa yang bermutu, jelas dan mudah difahami akan meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan masyarakat dan seterusnya membantu mereka membuat keputusan kewangan yang tepat.”
Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari pula berkata, “Sektor perbankan, kewangan dan insurans merupakan entiti penting yang membantu memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara. Selain aspek ekonomi, ciri ketamadunan bangsa turut dilengkapkan dengan pengukuhan nilai insan pembinaan jati diri. Hal ini sejajar dengan usaha Bank Negara Malaysia yang terus komited menganjurkan pertandingan Pidato Piala Gabenor ini dengan penyertaan pelbagai institusi di bawah sektor kewangan membuktikan kesungguhan seluruh warganya memartabatkan bahasa kebangsaan. Kepetahan, keyakinan dan keterampilan peserta menterjemahkan idea dalam pertandingan pidato ini telah terus melestarikan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu.”
Para peserta pada peringkat akhir berjaya mengharungi cabaran pertandingan pidato melalui pelbagai pembaharuan yang diperkenalkan tahun ini. Antara pembaharuan yang menyegarkan pertandingan ialah pemidato diberikan kebebasan untuk mencipta sendiri tajuk pidato yang ingin disampaikan berdasarkan lima tema yang dipertandingkan. Peserta pada peringkat akhir ini juga perlu menyampaikan pidato spontan berdasarkan soalan yang diajukan oleh juri. Melalui hujah yang dilontarkan, para peserta menampilkan daya persuasif dan idea yang bernas dalam menyampaikan isu-isu kewangan dan ekonomi semasa.
Bank Negara Malaysia
8 Ogos 2023
Perihal Pidato Piala Gabenor
Pidato Piala Gabenor yang dianjurkan dengan kerjasama DBP buat kali pertama pada tahun 2009, kini sudahpun dipertandingkan sebanyak 12 kali. Selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2019, pertandingan ini dianjurkan semula pada tahun ini dengan peringkat saringan dan akhir diadakan masing-masing pada 2 Ogos dan 7 Ogos 2023. Sejak mula dianjurkan, Pidato Piala Gabenor telah berjaya menarik penyertaan lebih 650 peserta daripada sektor kewangan dan lebih 100 tajuk dipidatokan berhubung dengan isu-isu semasa dalam sektor kewangan.
(Kiri-Kanan) Naib Johan, Mohamad Amirul Hafiz bin Mohamad Hassan (MSIG Insurance (Malaysia) Berhad); Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr. Hazami Jahari; Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Dato’ Marzunisham Omar; Johan Muhammad Za'im bin Mohamad Yusoff (Bank Islam Malaysia Berhad); Tempat Ketiga, Syafi'ah Na'imah binti Samsuddin (Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad).
Tiga pemenang utama dan peserta akhir lain bersama-sama dengan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr. Hazami Jahari (Kiri 5), Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Dato’ Marzunisham Omar (Kiri 6), Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia Fraziali Ismail (Kiri 4) dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka Tuan Haji Mohd Salahuddin bin Dato' Paduka Mohamed (Kanan 6).
Untuk maklumat lanjut tentang Pidato Piala Gabenor, layari bnm.gov.my/pidato.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.