Pertemuan dengan komuniti PKS di Melaka
Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengadakan sesi dialog dengan wakil-wakil utama daripada institusi kewangan, kerajaan negeri dan komuniti perniagaan tempatan di Melaka. Dialog yang dipengerusikan oleh Penolong Gabenor, Encik Adnan Zaylani Mohamad Zahid telah diadakan bersempena dengan Karnival Kewangan Melaka yang berlangsung pada 13 dan 14 Julai 2019.
Pada sesi dialog, komuniti perniagaan Melaka telah berkongsi pandangan dan pengalaman mereka tentang keadaan semasa. Antara isu yang diketengahkan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ialah persekitaran perniagaan yang mencabar, kurang kefahaman tentang keperluan pembiayaan dan ketersediaan akses pembiayaan untuk perusahaan mikro. Dalam hal ini, PKS dinasihati untuk membuat penyelidikan dan meningkatkan kesedaran mereka terhadap pelbagai tawaran yang berbeza-beza oleh institusi kewangan yang berpotensi memenuhi keperluan pembiayaan mereka.
Penolong Gabenor Encik Adnan Zaylani juga menekankan keperluan bagi PKS untuk mendapatkan khidmat nasihat lebih awal daripada institusi kewangan dan agensi berkaitan apabila berdepan dengan masalah kewangan. Hal ini penting bagi memastikan PKS lebih bersedia untuk menguruskan kewangan dengan lebih baik.
Dalam hal ini, BNM telah mewujudkan kaunter khidmat nasihat khusus yang dikenali sebagai "Kaunter Informasi PKS", yang merupakan sebahagian daripada usaha BNM untuk memberikan nasihat dan menyokong PKS. Kaunter ini merupakan platform penting untuk melayani pertanyaan PKS, memberikan khidmat nasihat dan menyelesaikan aduan. "Kaunter Informasi PKS" boleh dikunjungi di Laman Informasi Nasihat dan Khidmat BNM Kuala Lumpur dan lima pejabat BNM lain di seluruh negara.
Selain itu, PKS juga harus meneroka saluran atau sumber pembiayaan alternatif yang mungkin lebih berpadanan dengan perniagaan mereka. Ini termasuk platform pembiayaan rakan-kerakan (peer-to-peer) dan pendanaan ekuiti daripada orang ramai menerusi Internet (equity crowdfunding).
PKS dan perusahaan mikro perlu berdaftar atau mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia agar layak untuk memohon skim pembiayaan termasuk "Tabung BNM untuk PKS" dan kemudahan kewangan Islam daripada institusi kewangan.
Sesi dialog mendapat sambutan positif daripada PKS dan agensi kerajaan di Melaka. Institusi kewangan diingatkan mengenai tanggungjawab mereka untuk memberikan panduan kepada peminjam PKS yang berpotensi. Penjelasan yang sewajarnya perlu diberikan atas sebab permohonan pembiayaan mereka ditolak. Ini termasuk nasihat mengenai cara untuk meningkatkan kelayakan PKS untuk mendapatkan pembiayaan pada masa akan datang.
Terlebih dahulu sebelum sesi dialog, Penolong Gabenor Encik Adnan Zaylani turut mengadakan sesi taklimat dengan wakil-wakil daripada pelbagai Jawatankuasa Kemajuan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri Melaka (JAPERUN). Melaka mempunyai 28 JAPERUN yang mewakili setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di Melaka. Pada taklimat itu, Penolong Gabenor memberikan maklumat berkaitan akses dan nasihat pembiayaan PKS untuk JAPERUN berkongsi bersama di kawasan mereka.
BNM akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri Melaka dan industri kewangan untuk meningkatkan akses dan menyediakan pelbagai perkhidmatan kewangan kepada masyarakat setempat dan perniagaan tempatan. Melangkah kehadapan, BNM akan mengadakan dialog yang serupa sebagai penghubung antara sector kewangan dengan komuniti tempatan untuk memastikan ekosistem yang cekap dan berkesan bagi PKS.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.