Pertikaian Kontrak dengan H & I Niaga Sdn. Bhd.
Kenyataan ini merujuk kepada laporan akhbar baru-baru ini mengenai isu undang-undang berhubung dengan H & I Niaga Sdn. Bhd., bekas kontraktor pembinaan Pusat Sumber Perkhidmatan Kewangan Bank Negara Malaysia.
Kes ini merupakan pertikaian kontrak antara Bank Negara Malaysia dengan kontraktor yang dinyatakan di atas berhubung dengan langkah menamatkan perkhidmatan mereka pada peringkat akhir pembinaan bangunan tersebut.
H & I Niaga Sdn. Bhd. pada awalnya telah merujuk pertikaian kontrak tersebut untuk penimbangtaraan (arbitration), namun pada hari pertama sebutan kes ini di mahkamah, H & I Niaga Sdn Bhd. telah menarik diri daripada proses penimbangtaraan ini.
Di Bank Negara Malaysia, terdapat proses tadbir urus yang mantap dalam semua perkara yang dilaksanakan oleh Bank. Bank Negara Malaysia juga mempunyai dokumen terperinci bagi setiap peringkat pembinaan bangunan tersebut, termasuk rekod bagi keputusan yang telah dibuat. Memandangkan pihak yang berkenaan telahpun memfailkan dakwaan mereka di mahkamah, Bank Negara Malaysia akan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.