Peruntukan Tambahan bagi Tabung Industri Kecil dan Sederhana 2 dan Tabung Usahawan Baru 2
Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan peruntukan tambahan bagi Tabung Industri Kecil dan Sederhana 2 (TIKS2) sebanyak RM2 bilion kepada RM6.75 bilion, dan Tabung Usahawan Baru 2 (TUB2) sebanyak RM500 juta kepada RM2.85 bilion. Tambahan peruntukan untuk kedua-dua tabung pusingan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Bank Negara Malaysia untuk menyediakan akses kepada pembiayaan yang lebih luas bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdaya maju.
TIKS2 ditubuhkan pada 15 April 2000 untuk membantu PKS dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan, manakala TUB2 ditubuhkan pada 15 Julai 2001 untuk menggalakkan pembangunan PKS Bumiputera. Sehingga kini, sebanyak 13,676 PKS telah mendapat manfaat daripada kedua-dua tabung itu.
Sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan lagi keberkesanan TIKS2 dan TUB2, langkah tambahan juga diperkenalkan. Ini bertujuan untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi PKS yang berdaya maju, khususnya PKS yang mungkin menghadapi kesulitan mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan kerana rekod prestasi perniagaan atau rekod kewangan yang tidak mencukupi. Untuk mencapai matlamat ini, kriteria kelayakan bagi TIKS2 dan TUB2 telah diperbaiki untuk memudahkan akses kepada pembiayaan bagi PKS yang lebih kecil dan yang baru memulakan operasi, seperti yang berikut:
- Dana pemegang saham PKS hendaklah tidak melebihi RM2 juta;
- Pemegangan saham oleh syarikat awam yang tersenarai atau syarikat berkaitan dengan Kerajaan dalam PKS tidak melebihi 20%; dan
- PKS hendaklah mempunyai rekod prestasi perniagaan yang tidak melebihi tujuh tahun. Namun begitu, institusi kewangan pelaksana boleh mempertimbangkan permohonan PKS yang telah beroperasi lebih daripada tujuh tahun.
TIKS2 dibuka kepada PKS dalam semua sektor ekonomi, iaitu pertanian, perkilangan (termasuk industri berasaskan pertanian) dan perkhidmatan, dengan tempoh pembiayaan maksimum dilanjutkan dari tiga ke lima tahun. TUB2 pula kekal dikhususkan untuk PKS Bumiputera dengan tempoh pembiayaan maksimum selama lima tahun.
Di bawah pengaturan baru ini, kadar pinjaman yang berbeza-beza, iaitu dari 4% hingga 6% setahun akan dikenakan bagi kedua-dua tabung itu sebagai mencerminkan profil risiko peminjam PKS. Pengaturan baru ini menggantikan kadar pinjaman maksimum 5% setahun yang sedia ada.
Maklumat lanjut mengenai TIKS2 dan TUB2 boleh didapati daripada institusi kewangan pelaksana, termasuk semua bank perdagangan dan bank-bank Islam, Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) dan Malaysian Industrial Development Finance Berhad. Institusi kewangan pelaksana TIKS2 yang lain ialah Bank Pertanian Malaysia dan Sabah Development Bank Berhad.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.