Peruntukan Tambahan di bawah Dana BNM untuk PKS
Bank Negara Malaysia (BNM) mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Ucapan Amanat Tahun Baru 2026 mengenai penambahan Dana BNM untuk PKS (Dana BNM) serta pengenalan skim jaminan pembiayaan.
Seperti yang diumumkan, dana tambahan sebanyak RM2.5 bilion akan disediakan untuk Dana BNM, dengan tumpuan saluran dana kepada peminjam kali pertama. Setakat ini, BNM telah menyediakan pembiayaan konsesi sebanyak RM32.4 bilion bagi menyokong akses pembiayaan PKS melalui institusi kewangan peserta, khususnya perusahaan mikro dan kecil yang berdaya maju namun menghadapi kekangan pembiayaan. Penambahan ini meningkatkan jumlah peruntukan di bawah Dana BNM kepada RM34.9 bilion.
Pada masa hadapan, BNM akan beralih kepada sokongan berasaskan jaminan dengan sasaran pembiayaan yang dijamin sebanyak RM10 bilion. Peralihan kepada skim jaminan kredit bertujuan untuk menghasilkan impak yang lebih tinggi menerusi manfaat kepada segmen PKS yang lebih luas, termasuk peminjam kali pertama dan aktiviti keusahawanan baharu. Skim ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dan institusi kewangan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.