Perutusan Gabenor di Sidang Akhbar Laporan Tahunan BNM 2001

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1800 pada Rabu, 20 Mac 2002
20 Mac 2002 Siaran Akhbar

Sebagai tradisi Bank Negara Malaysia, saya dengan sukacitanya ingin menyiarkan secara rasmi Laporan Tahunan 2001 Bank Negara Malaysia. Laporan ini mengandungi Akaun Tahunan Bank Negara Malaysia untuk tahun 2001 dan memberi analisa perkembangan ekonomi dan kewangan pada tahun 2001, serta memberi unjuran rasmi untuk ekonomi Malaysia bagi tahun 2002.

Prestasi ekonomi negara pada tahun 2001 begitu dipengaruhi oleh perkembangan luar negara yang tidak pernah ditempuh sebelum ini, yang mempunyai implikasi meluas ke atas ekonomi dunia. Sebagai sebuah ekonomi yang terbuka, Malaysia turut terjejas oleh keadaan kelembapan ekonomi luar negara. Keadaan ini diburukkan lagi oleh kesan daripada peristiwa 11 September. Walau bagaimanapun, asas ekonomi yang kukuh dan penggalakan pertumbuhan melalui sumber dalam negeri telah mengurangkan kesan buruk ke atas ekonomi akibat perkembangan luar negara. Kedudukan asas ekonomi yang kukuh telah mempertingkatkan fleksibiliti dasar untuk melaksanakan dasar-dasar pro-pertumbuhan tanpa mendatangkan ketidakseimbangan dalam ekonomi. Dengan sumber dalam negeri yang mencukupi, kestabilan pasaran kewangan dalam negeri dan pelaksanaan tindakan-tindakan awal dengan cepat, Malaysia berupaya menghadapi kelembapan ekonomi dunia ini dan mencatat pertumbuhan yang positif pada 0.4% dan kadar pengganguran dibendung kurang daripada 4%. Pertumbuhan positif ini dikekalkan dengan kedudukan imbangan pembayaran yang lebih kukuh.

Dasar-dasar makroekonomi pada tahun ini memberi fokus dalam menyokong aktiviti dalam negeri sebagai penjana utama pertumbuhan ekonomi. Penggunaan swasta kekal kukuh walaupun pendapatan eksport lebih rendah. Tabungan negara kekal tinggi pada kira-kira 35% daripada KNK. Pelaburan sektor awam meningkat sebanyak 15.4%, sementara perbelanjaan penggunaan bertambah sebanyak 11.9%. Ini mengurangkan kesan penguncupan dalam pelaburan swasta dalam negeri. Struktur ekonomi Malaysia yang lebih pelbagai juga menyederhanakan kesan kemerosotan permintaan luaran yang dihadapi oleh industri berasaskan eksport. Pertumbuhan lemah sektor perkilangan berasaskan eksport, yang merosot sebanyak -10.2% telah diimbangi dengan pertumbuhan positif di catat dalam semua sektor lain. Pertumbuhan yang lebih kukuh dalam industri-industri berasaskan dalam negeri, yang meningkat sebanyak 7.4% telah mengimbangi kekurangan daripada kejatuhan permintaan luar negara. Sektor pertanian berkembang sebanyak 2.5% sementara sektor perlombongan sebanyak 0.2%. Industri-industri berasaskan dalam negeri dalam sektor perkilangan kini menyumbang lebih daripada satu per empat daripada jumlah pengeluaran. Kandungan tempatan dalam sektor perkhidmatan ketika ini adalah lebih tinggi pada kira-kira 80%. Sektor pembinaan, yang mempunyai kandungan tempatan dan kesan pengganda yang tinggi turut menunjukkan prestasi yang baik sepanjang tahun ini.

Dasar-dasar pro-pertumbuhan untuk merangsang aktiviti dalam negeri telah memberi manfaat khususnya kepada sektor perkhidmatan, yang mencatat pertumbuhan sebanyak 4.9% pada tahun 2001. Pengembangan sektor ini adalah meluas dengan peningkatan kukuh dicatat untuk perkhidmatan perantaraan terutamanya sektor-sektor kecil kewangan dan insurans serta komunikasi. Pengembangan kukuh juga dicatat dalam kumpulan perkhidmatan akhir, terutamanya sektor-sektor kecil perkhidmatan kerajaan dan utiliti.

Walaupun pertumbuhan keseluruhan menjadi sederhana pada tahun ini, imbangan pembayaran keseluruhan bertukar arah kepada kedudukan lebihan sebanyak RM3.7 bilion pada tahun 2001. Meskipun lebihan akaun semasa mengecil pada tahun 2001, lebihan tersebut kekal tinggi pada RM27.4 bilion atau bersamaan dengan 8.9% daripada KNK. Keadaan ini mencerminkan penurunan sederhana dalam akaun perdagangan dan peningkatan dalam akaun-akaun pendapatan dan perkhidmatan. Pada akhir tahun 2001, rizab antarabangsa BNM adalah lebih tinggi pada AS$30.8 bilion. Rizab antarabangsa terus meningkat kepada AS$32.6 bilion pada 14 Mac 2002, cukup untuk menampung import tertangguh selama 5.5 bulan dan menampung sebanyak 5.3 kali hutang jangka pendek luar negara. Walaupun hutang luar negara meningkat pada tahun 2001, jumlah yang belum dijelaskan kekal rendah pada kira-kira 55.4% daripada KNK. Profil hutang juga kekal kukuh dengan hutang jangka pendek hanya 13.7% daripada jumlah hutang.

Pada tahun 2001, asas-asas makroekonomi Malaysia semakin kukuh. Inflasi menjadi sederhana kepada 1.4%; rizab antarabangsa terus meningkat, didorong oleh aliran masuk lebihan dagangan dan aliran dana jangka panjang yang berterusan; kedudukan fiskal keseluruhan Kerajaan Persekutuan yang bertambah baik; tabungan dalam negeri yang kekal tinggi dan sistem kewangan yang menjadi lebih kukuh. Asas-asas ekonomi yang lebih kukuh ini telah meningkatkan daya tahan ekonomi dalam keadaan persekitaran luar negara yang lebih sukar ini. Rejim kadar pertukaran tetap terus disokong oleh asas ekonomi yang kukuh dan terus membantu perdagangan antarabangsa dan pelaburan sepanjang tahun. ini Kestabilan dalam kadar pertukaran mata wang juga membolehkan dasar-dasar pro-pertumbuhan dilaksanakan dengan lebih berkesan serta mempercepatkan usaha pengstrukturan semula sektor perbankan dan korporat.

Sektor perbankan Malaysia terus kukuh dan kekal berdaya tahan dalam memainkan peranan perantaraannya dengan cekap dan berkesan sepanjang tahun 2001. Kedudukan modal sistem perbankan bertambah baik dengan nisbah modal berwajaran risiko meningkat kepada 12.5% pada akhir bulan Januari 2002. Walaupun pinjaman tak berbayar (NPL) meningkat pada tahun 2002, ia kekal pada tahap yang mampu diurus. Nisbah NPL bersih sistem perbankan berada pada 8.4% pada akhir bulan Januari 2002, ditampung oleh 58.7% peruntukan hutang ragu dan lapuk ke atas jumlah NPL atau 146.5% sekiranya mengambilkira cagaran. Sistem perbankan terus mencatatkan keuntungan pada tahun 2001 sebanyak RM7.5 bilion, yang akan terus mengukuhkan kedudukan modal sektor perbankan. Dari segi potensi risiko ke atas sektor perbankan, jumlah pinjaman yang belum dijelaskan dan tertangguh telah menjadi stabil dan terus kekal pada tahap yang boleh diurus.

Kemajuan yang nyata telah dicapai dalam penstrukturan semula kewangan yang dilaksanakan oleh Danaharta dan Danamodal. Kemajuan dalam penstrukturan semula operasi hutang dan bukan hutang korporat yang dikendalikan oleh CDRC telah mencapai kemajuan lebih pesat pada tahun 2001 berikutan pelaksanaan rangka kerja baru yang diperkenalkan pada bulan Ogos. Sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula hutang, beberapa syarikat korporat besar telah menjalankan aktiviti penstrukturan semula dengan bersungguh-sungguh dari segi pengurusan dan struktur pemilikan, serta penjualan perniagaan dan asset yang tidak begitu penting. Kemajuan yang memuaskan dalam penyusunan hutang korporat di bawah rangka kerja CDRC yang baru, dijangka akan mempunyai kesan positif ke atas NPL dalam sektor perbankan. Kejayaan menyelesaikan kes-kes besar CDRC telah menyumbang ke arah mengurangkan NPL dalam system perbankan. Dengan penyempurnaan proses penyusunan semula hutang di bawah CDRC, yang dijangka pada bulan Julai 2002, kualiti asset institusi perbankan dijangka meningkat sebanyak kira-kira 3 mata peratusan.

Program penggabungan bagi institusi perbankan dalam negeri merupakan satu pengukuhan struktur penting dalam sistem perbankan. Kejayaan melaksanakan penggabungan dan penyatuan kumpulan perbankan pada tahun 2001 telah memberi manfaat kepada industri dan pelanggan perbankan. Kumpulan perbankan yang digabung kini mempunyai kedudukan modal yang kukuh untuk memenuhi perbelanjaan modal yang diperlukan pada masa hadapan serta memperluaskan skop perniagaan mereka. Proses integrasi operasi perniagaan dan usaha-usaha penyelarasan merupakan bahagian yang penting di dalam penggabungan bagi mengurangkan pertindihan sumber dan untuk memperolehi tahap ekonomi berskala yang lebih tinggi dan peningkatan kecekapan dalam institusi perbankan. Pelanggan kini mempunyai akses kepada perkhidmatan bank yang lebih luas.

Tahun 2001 mencatat perkembangan penting bagi industri perbankan Islam. Dari segi prestasi, industri tersebut telah mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan pada tahun 2001. Jumlah asset perbankan Islam telah meningkat sebanyak 25.2%, berjumlah RM58.9 bilion pada akhir tahun 2001, yang merupakan 8.2% daripada sistem perbankan secara keseluruhannya. Dari segi keuntungan pula, pertumbuhan yang tinggi telah dicatatkan dengan keuntungan sebelum cukai meningkat sebanyak 69.9% kepada RM905.9 juta pada tahun ini. Antara langkah-langkah yang dilaksanakan dalam tahun 2001 untuk membangun dan mengukuhkan lagi rangka kerja pengawalan industri perbankan Islam adalah mengguna pakai rangka kerja Nisbah Modal Berwajaran Risiko (RWCR); melaksanakan rangka kerja Kadar Pulangan (ROR); dan melaksanakan program-program latihan dan kesedaran. Dalam bidang penyelidikan dan latihan perbankan dan kewangan Islam, sebuah institut kepunyaan industri iaitu Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) telah ditubuhkan. IBFIM akan menjadi pusat sehentian untuk tujuan pendidikan, latihan dan penyelidikan.

Di peringkat antarabangsa, kemajuan pesat telah dicapai dalam dua inisiatif iaitu Pasaran Kewangan Islam Antarabangsa (IIFM) dan badan penetap piawaian antarabangsa. BNM mengambil bahagian secara aktif di dalam kedua-dua initatif tersebut. Badan penetap piawaian tersebut, yang akan ditempatkan di Malaysia, memberi tumpuan kepada memajukan amalan-amalan terbaik antarabangsa dan piawaian berhemat yang merangkumi penyeliaan dan pengawalan institusi kewangan Islam. Perkembangan yang menggalakkan ini akan terus menyumbang kepada pembangunan keseluruhan sistem kewangan Islam global.

Industri insurans mengekalkan kedudukan pertumbuhan positif dalam pendapatan premium bagi tahun ketiga berturut-turut sejak krisis Asia. Pendapatan premium meningkat sebanyak 12.4% pada 2001 manakala permodalan penanggung insurans bertambah kukuh kepada RM4.9 bilion pada akhir tahun 2001. Peningkatan keperluan modal minimum kepada RM100 juta berkuatkuasa 30 September 2001, adalah penting dalam memajukan penggabungan industri tersebut. Sejak tahun 1999, sejumlah lapan penggabungan dan pengambilalihan (M&A) telah dilaksanakan. Tujuh M&A lagi yang melibatkan 13 penanggung insurans kini sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Pada tahun 2001, dasar makroekonomi telah ditumpukan untuk menguruskan risiko buruk yang timbul daripada kelembapan ekonomi-ekonomi utama. Dasar-dasar makroekonomi telah ditujukan untuk mewujudkan persekitaran yang membolehkan permintaan dalam negeri menyokong pertumbuhan. Asas-asas ekonomi yang lebih kukuh telah memberikan fleksibiliti dasar kepada Malaysia untuk melaksanakan dasar-dasar pro-pertumbuhan tanpa mewujudkan ketidakseimbangan ekonomi.

Dasar fiskal adalah mengembang untuk merangsang aktiviti ekonomi dalam negeri. Memandangkan persekitaran global bertambah buruk, Kerajaan telah melaksanakan program rangsangan fiskal pada bulan Mac, dan pada bulan September 2001. Walau bagaimanapun, defisit fiskal telah dikekalkan pada tahap yang boleh diurus untuk memastikan kemapanan fiskal pada jangka panjang. Kedudukan hasil menunjukkan prestasi yang kukuh pada tahun 2001, menyebabkan defisit fiskal menjadi lebih rendah pada 5.5% daripada KDNK, berbanding anggaran terdahulu sebanyak 6.5% daripada KDNK.

Walaupun kadar Campurtangan 3-bulan dikekalkan pada 5.5% bagi tempoh 9 bulan pertama tahun 2001, kadar faedah yang rendah dan keadaan monetari menyokong langkah-langkah tindakbalas fiskal bagi meningkatkan aktiviti ekonomi. Berikutan peristiwa 11 September dan peningkatan risiko yang melemahkan lagi aktiviti dalam negeri, BNM menurunkan Kadar Campurtangan sebanyak 50 mata peratusan kepada 5% pada 20 September. Kadar faedah yang rendah dan stabil, mudah tunai yang lega dan kadar inflasi yang rendah menyumbang kepada keadaan ekonomi dalam negeri yang positif. Dalam suasana kadar faedah yang rendah pada tahun 2001, pemberian pinjaman bank dan pembiayaan menerusi pasaran bon meningkat. Jumlah pembiayaan melalui pinjaman yang dikeluarkan oleh sistem perbankan dan PDS yang diterbitkan oleh sektor swasta meningkat sebanyak RM33.5 bilion atau 6% pada tahun 2001. Pada masa yang sama, pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (IKS) kekal kukuh.

Kemajuan pesat yang dicapai dalam pembaharuan dan penstrukturan semula sektor kewangan pada tahun 2001 telah membolehkan BNM mengalih tumpuannya daripada menguruskan masalah sektor perbankan kepada isu-isu jangka sederhana dan panjang dalam membangunkan sektor perbankan yang lebih berdaya saing dan berdaya tahan. Pelan Induk Sektor Kewangan (PISK) yang telah dilancarkan pada 22 Februari 2001 bertujuan untuk menyediakan kertas dasar bagi pembangunan sektor kewangan untuk tempoh sepuluh tahun akan datang. Setakat ini, 9 daripada 119 cadangan di bawah PISK telahpun dilaksanakan sepenuhnya. Di samping itu, 22 cadangan telah dilaksanakan secara berterusan.

Tinjauan dan Prospek Ekonomi Malaysia pada tahun 2002

Ketika kita melangkah ke tahun 2002, terdapat tanda-tanda bahawa ekonomi dunia dijangka pulih kepada kira-kira 2.5% pada tahun 2002. Pertumbuhan negara-negara industri utama secara kumpulan dijangka stabil pada 1.1%, mencerminkan pertumbuhan yang lebih tinggi sebanyak 1.4% bagi ekonomi AS.

Malaysia berada di kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada pemulihan yang semakin nyata dalam ekonomi global. Pertumbuhan KDNK benar bagi ekonomi Malaysia dijangka akan pulih kepada 3.5% pada tahun 2002. Unjuran ini berdasarkan pertumbuhan lebih tinggi dalam penggunaan swasta, pemulihan sederhana dalam pelaburan swasta, perbelanjaan sektor awam yang kukuh dan pertumbuhan eksport yang sederhana.

Penunjuk-penunjuk semasa dalam negeri menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia berada pada peringkat awal pemulihan. Indeks penunjuk utama telah menunjukkan pertumbuhan positif selama enam bulan berturut-turut. Penurunan dalam kedua-dua eksport dan pengeluaran perkilangan juga sudah mula menyederhana. Walaupun inflasi dijangka meningkat sedikit, ia diramal kekal di bawah tahap 2%. Di dalam negeri, permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dan pemulihan dalam permintaan luaran dijangka membawa kepada pertumbuhan yang lebih pelbagai dan meluas. Semua sektor ekonomi diramal menunjukkan pertumbuhan positif pada tahun 2002. Lebih menggalakkan lagi adalah pelaburan swasta yang dijangka pulih pada tahun 2002 untuk mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 1.2%. Khususnya, pelaburan modal dalam sektor perkilangan adalah dijangka meningkat berikutan pemulihan global yang lebih kukuh pada separuh kedua tahun 2002. Pelaburan langsung asing (FDI) juga dijangka menunjukkan pertumbuhan yang lebih kukuh pada tahun ini.

Pada tahun 2002, lebihan akaun semasa dijangka kekal tinggi pada 7.9% daripada KNK. Akaun kewangan dijangka akan disokong oleh aliran masuk modal jangka panjang yang kukuh, termasuk aliran masuk FDI yang lebih tinggi. Dengan pemulihan keadaan ekonomi global, aliran masuk FDI dijangka akan lebih tinggi berikutan unjuran aliran masuk ekuiti daripada rakan dagangan strategik serta aliran masuk untuk pengembangan dan pelaburan baru dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan minyak dan gas.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, FDI telah menjadi lebih meluas dengan pelaburan yang lebih tinggi dalam sektor perkhidmatan. Terdapat perubahan nyata dalam bentuk pelaburan yang tertumpu kepada pelaburan yang mempunyai nilai ditambah yang lebih tinggi dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan, yang telah membawa masuk teknologi baru dan kepakaran lain yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan produktiviti. Pelaburan asing bukan sahaja menerusi ekuiti, tetapi juga pada peringkat pengurusan, terutama dalam sektor seperti teknologi maklumat dan komunikasi, telekomunikasi, sektor perkhidmatan pelabuhan dan kewangan. Faktor-faktor yang menyokong aliran masuk yang lebih tinggi pada tahun 2002 termasuklah pelonggaran seterusnya peraturan dalam negeri terutamanya dalam sektor perkhidmatan dan pembinaan; rejim dagangan yang terbuka dan liberal; kos menjalankan perniagaan yang rendah; kestabilan keseluruhan makroekonomi; infrastruktur fizikal yang berkualiti tinggi; dan sistem kewangan yang cekap. Penekanan Kerajaan ke atas insentif-insentif terpilih untuk memenuhi keperluan tertentu industri-industri dan pelabur-pelabur juga merupakan dorongan tambahan kepada faktor-faktor tersebut.

Pengurusan Ekonomi, Monetari dan Kewangan pada tahun 2002

Tumpuan utama dasar untuk tahun 2002 adalah untuk memastikan pemulihan ekonomi Malaysia mampu bergerak pantas dan sebarang risiko buruk dapat diminimumkan. Dengan asas yang teguh, Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk mengambil peluang ke atas keadaan global yang mula menampakkan tanda-tanda awal pemulihan.

Langkah-langkah makroekonomi telah memberikan keadaan yang positif, yang menyumbang kepada memperbaiki suasana yang boleh menggalakkan perniagaan. Dasar makroekonomi Malaysia sebenarnya telahpun dilaksanakan. Dengan ini, fokus dasar adalah kepada langkah-langkah dari segi penawaran untuk meningkatkan kelebihan daya saing Malaysia. Penekanan adalah ke atas dasar untuk mempercepatkan lagi pembaharuan struktur.

Langkah-langkah dari segi penawaran bertujuan untuk menangani isu-isu untuk meningkatkan keberkesanan dan produktiviti untuk mengurangkan kos operasi perniagaan di Malaysia. Meningkatkan keberkesanan memerlukan infrastruktur institusi yang kukuh serta langkah-langkah yang lebih khusus, yang menyumbang kepada peningkatan kecekapan perkhidmatan awam, mengurangkan kos input sejajar dengan harga antarabangsa, meningkatkan tahap kemahiran dan pendidikan dan meningkatkan penggunaan teknologi maklumat untuk memperluaskan kapasiti teknikal. Langkah-langkah ini, pada asasnya akan mengurangkan kos operasi dan meningkatkan daya saing negara.

Dalam suasana yang penuh dengan ketidaktentuan ini, dasar kadar pertukaran wang yang stabil merupakan kelebihan daya saing yang utama. Bagi ekonomi yang bergantung kepada perdagangan terbuka, kadar pertukaran yang stabil merupakan kelebihan yang ketara dalam memperkembangkan perdagangan dan peluang pelaburan. Dengan menghapuskan perubahan besar dalam kadar pertukaran wang, rejim kadar pertukaran tetap telah mewujudkan suasana yang stabil untuk membolehkan perniagaan merancang pelaburan dan melaksanakan operasinya. Pada masa yang sama, kestabilan kadar pertukaran juga menyediakan suasana yang memudahkan perubahan struktur yang berterusan bagi meningkatkan kedudukan daya saing Malaysia. Hanya melalui penyesuaian struktur jangka panjang dalam kadar pertukaran dan bukannya penyesuaian yang kerap, sesebuah negara itu dapat membina asas perniagaan yang kukuh, meningkatkan kecekapan dan mewujudkan persekitaran yang merangsang persaingan dan inovasi.

Sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak mempunyai pengaruh terhadap faktor-faktor luaran yang menjejaskan ekonomi. Walau bagaimanapun, dengan berusaha mengukuhkan asas-asas ekonomi dalam negeri, Malaysia akan berada dalam kedudukan yang lebih kuat untuk mengurus dan mengurangkan kesan kemeruapan di sektor luaran. Terdapat tiga unsur penting dalam dapat memastikan rejim kadar pertukaran terus beroperasi dengan cekap. Pertama, ianya perlu disokong sepenuhnya oleh asas-asas dalam negeri. Kedua, harus terdapat fleksibiliti di pasaran dalam negeri untuk membolehkan ekonomi menyesuai dan menyerap kesan daripada kemeruapan sektor luaran. Ketiga, perlunya penstrukturan semula di semua peringkat bagi meningkatkan daya saing melalui kecekapan dan peningkatan produktiviti dan bukannya hanya bergantung kepada penurunan nilai mata wang. Ketiga-tiga unsur ini ada pada Malaysia bagi memastikan kemapanan rejim kadar pertukaran.

Dari segi keadaan yang sedia ada di Malaysia, asas-asas ekonomi Malaysia yang kukuh, beserta kadar inflasi yang rendah, imbangan luaran yang kukuh, tahap hutang luar negara yang rendah, kedudukan rizab yang kukuh dan sektor perbankan yang teguh telah memberikan sokongan kuat kepada rejim kadar pertukaran tetap. Malaysia juga mempunyai fleksibiliti yang mencukupi untuk melaksanakan penyesuaian ke atas semua sektor dalam ekonomi untuk kekal berdaya saing. Struktur ekonomi yang pelbagai, peningkatan dalam mobiliti modal dan buruh telah memberikan Malaysia ketahanan yang lebih tinggi untuk menangani kejutan luaran. Malaysia juga mempunyai fleksibiliti dasar untuk bertindak balas kepada keadaan tersebut. Dalam kesemua keadaan, apabila rejim pertukaran gagal, ia bukanlah disebabkan oleh rejim itu sendiri, tetapi adalah disebabkan kelemahan dalam ekonomi dan sistem kewangan.

Setelah melalui perubahan yang ketara dan muncul dengan asas-asas yang lebih kukuh, ekonomi Malaysia dan negara-negara serantau lebih berkebolehan untuk menyerap kemeruapan dalam kadar pertukaran mata wang. Negara-negara ini juga lebih prihatin terhadap kos penurunan nilai dalam mata wang, terutamanya ke atas keyakinan.

Sebagai contoh, membandingkan tindakbalas di kalangan negara serantau terhadap dua episod penurunan nilai dalam yen, iaitu pada awal tahun 2001 dan kemudiannya pada akhir tahun 2001 dan awal tahun 2002, adalah jelas bahawa tindakbalas kadar pertukaran mata wang serantau ketara lebih perlahan sewaktu berlakunya episod yang terkini. Pengalaman lalu telah menunjukkan bahawa ketika kebanyakan negara-negara di rantau ini mengalami penurunan ketara dalam kadar pertukaran mereka, adalah sukar untuk mengenalpasti hubungan yang jelas di antara tahap penurunan kadar pertukaran dengan pertumbuhan dalam eksport. Kadar pertukaran asing bukanlah faktor utama dalam menentukan prestasi eksport. Yang paling penting adalah daya saing keseluruhan ekonomi tersebut yang akan memastikan prestasi eksport yang mapan.

Keadaan semasa menyokong dasar monetari pada tahun 2002 untuk kekal akomodatif, menguatkan dasar-dasar kitaran-balas yang berterusan. Dasar monetari akan dilaksanakan berteraskan manfaat yang diraih berikutan pelonggaran monetari yang bermula semenjak tahun 1998, bagi memastikan proses pemulihan ekonomi menjadi lebih berkesan. Tumpuan akan diberikan dalam mewujudkan persekitaran yang stabil dan boleh dijangka, bagi memudahkan keputusan pelaburan. Dengan inflasi yang rendah dan asas ekonomi yang lebih kukuh, Malaysia mempunyai keupayaan untuk melaksanakan fleksibiliti dasar untuk memelihara kemapanan dan kestabilan jangka panjang.

Dalam memperkukuhkan daya tahan dan kedudukan daya saing institusi perbankan, BNM akan terus memberi penekanan ke arah memperkukuhkan rangka kerja pengawalan dan pengawalseliaan. Objektifnya ialah untuk mewujudkan suasana yang kondusif bagi institusi perbankan untuk menjadi lebih cekap, menyediakan persekitaran di mana inovasi dan persaingan adalah digalakkan di kalangan peserta dalam pasaran kewangan. Oleh itu, cabarannya adalah untuk mengimbangi kesan di antara menggalakkan inovasi di antara peserta dalam sistem kewangan dengan mengekalkan kestabilan kewangan keseluruhan. Sehingga kini, sebanyak 14 cadangan di bawah PISK yang melibatkan 36 projek disasar untuk dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2002. Ini termasuklah yang berkaitan dengan pembentukan kapasiti dan kecekapan institusi kewangan serta pembangunan pendidikan dan perlindungan pengguna.

Langkah-langkah dasar untuk industri insurans pada tahun 2002 akan diteruskan dengan memberi tumpuan kepada penggalakan insentif bagi meningkatkan prestasi, menggalakkan penggunaan amalan terbaik dan mengukuhkan perlindungan pengguna. Sehingga kini, 10 cadangan di bawah PISK melibatkan 13 projek disasar untuk dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2002. Cadangan-cadangan ini termasuk pengenalan penasihat-penasihat kewangan bebas (IFAs) dan menerima pakai amalan 'nasihat terbaik' dalam penjualan produk insurans nyawa yang membolehkan pengguna-pengguna Malaysia mendapat nasihat profesional yang bebas dalam pilihan kewangan mereka. Dengan fokus strategi yang tepat, sektor insurans nyawa mempunyai potensi yang amat besar untuk berkembang di masa hadapan, terutamanya dalam produk dan perkhidmatan yang menyediakan keperluan saraan, pengumpulan modal dan jagaan jangka panjang.

Untuk mencapai pertumbuhan yang mapan, penanggung insurans perlu meningkatkan usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan untuk memberi pengguna pilihan yang lebih luas bagi produk yang berinovasi dan berharga kompetitif. Tambahan lagi, terdapat keperluan untuk menubuh dan mengukuhkan piawaian dan kawalan minimum penajajaminan secara berterusan, terutamanya dalam perniagaan-perniagaan baru. Ini adalah untuk memastikan perniaga ditaja jamin di atas prinsip insurans yang tetap dan berhemat. Akhirnya, penanggung insurans perlu melaksanakan dasar pemberian harga dan strategi pelaburan yang berhemat yang mana bersesuaian dengan komitmen kewangan jangka panjang penanggung insurans, seperti yang diterangkan kepada pemegang polisi.

Malaysia kekal komited dalam mengukuhkan infrastruktur kewangan dan korporat dalam negeri. Sektor korporat dijangka akan melaksanakan penstrukturan semula untuk meningkatkan daya saing supaya lebih kukuh untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan menghadapi cabaran masa hadapan. Di samping itu, walaupun banyak syarikat-syarikat besar telah melaksanakan langkah-langkah pengstrukturan semula secara bersungguh-sungguh, tumpuan yang lebih akan juga diberikan kepada pembangunan IKS pada tahun 2002. IKS adalah penting dalam menghubungkan pelbagai sub sektor di dalam ekonomi dan merupakan sumber yang dinamik dan penggerak utama yang berpotensi. IKS juga merupakan perusahaan tempatan yang mempunyai potensi untuk tumbuh dan berkembang menjadi syarikat besar dan disenaraikan, dengan potensi untuk menjadi peserta pasaran serantau dan global. Untuk membangunkan IKS, tumpuan akan diberi dalam mewujudkan persekitaran yang bersesuaian, yang bukan sahaja kepada menyediakan kemudahan pembiayaan untuk IKS tetapi juga meningkatkan keupayaan teknologi, penyediaan latihan dan khidmat nasihat serta membantu mengedar barangan dan perkhidmatan mereka di pasaran. Sebagai asas kepada pembentukan rangka kerja yang komprehensif untuk pembangunan IKS, BNM telah menjalankan kajian ke atas IKS menerusi institusi perbankan dan institusi kewangan pembangunan untuk mengumpul maklumat.

Sebagai satu usaha untuk mengukuhkan struktur institusi dalam ekonomi, satu undang-undang baru, iaitu Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (Akta DFI) telah digubal dan mula berkuatkuasa pada bulan Februari 2002. Akta baru ini memberi kuasa kepada BNM untuk menguatkuasakan beberapa peruntukan dalam Akta dan sehingga kini, sebanyak 6 DFI telah diletakkan di bawah skop Akta ini. DFI sebagai satu komponen dalam sektor kewangan, DFI akan terus memainkan peranan yang penting dalam pembangunan sosio-ekonomi negara, terutamanya dalam menyediakan kemudahan pembiayaan kepada sektor tertentu yang telah disasarkan dalam ekonomi. Justeru itu, strategi digubal untuk menggalakkan pembangunan DFI yang cekap dan berkesan. Matlamat akhir DFI ialah untuk melaksanakan fungsi-fungsi yang dimandatkan kepada mereka pada kos yang minimum kepada Kerajaan. Kemajuan yang besar telah dicapai dalam memperkukuhkan rangka kerja pengawalan bagi DFI. Melangkah ke hadapan, tumpuan akan diberi untuk mengukuhkan keupayaan keseluruhan kewangan dan struktur serta memperbaiki kecekapan operasi DFI.

Kedudukan kewangan Bank Negara Malaysia pada tahun 2001 telah diperiksa dan disahkan oleh Ketua Audit Negara. Jumlah aset Bank Negara Malaysia meningkat kepada RM149.7 bilion pada akhir tahun 2001 (RM148.9 billion pada akhir tahun 2000). Peningkatan aset yang utama adalah disebabkan peningkatan dalam rizab antarabangsa. Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia kekal kukuh pada RM117.2 bilion (AS$30.8 bilion) pada akhir tahun 2001. BNM telah mencatat keuntungan bersih sebanyak RM0.7 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2001. BNM mengisytiharkan dividen sebanyak RM0.5 bilion kepada Kerajaan pada tahun 2001.

Lihat juga: Laporan Tahunan BNM 2001


Bank Negara Malaysia
20 Mac 2002

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?