Portal SMEinfo: Satu Gerbang Maklumat Dalam Talian Sehenti Untuk PKS

Embargo: Untuk siaran segera
10 Feb 2006 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan bahawa Portal SMEinfo, www.smeinfo.com.my , iaitu satu gerbang maklumat dalam talian sehenti untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kini boleh didapati secara dalam talian. Portal SMEinfo ini, iaitu satu daripada inisiatif Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Kebangsaan, menawarkan maklumat yang komprehensif tentang semua aspek pembangunan PKS.

Portal SMEinfo ini menyediakan PKS dengan akses yang mudah kepada maklumat terperinci mengenai semua program Kerajaan untuk pembangunan PKS , termasuk pelbagai skim pembiayaan dan khidmat sokongan perniagaan yang ditawarkan kepada PKS. Kini PKS boleh mendapat butiran program itu, termasuk kriteria kelayakan dan maklumat untuk berhubung dengan agensi yang menyediakan program itu. Portal ini juga menawarkan maklumat kepada PKS mengenai sumber dan cara mendapatkan pembiayaan, khidmat nasihat, program latihan, pembangunan produk dan teknologi, serta maklumat pemasaran. Di samping itu, Portal ini juga menyediakan maklumat tentang kaedah memulakan, menguruskan dan mengembangkan perniagaan, serta instrumen kewangan bagi membantu PKS menguruskan hal ehwal kewangan mereka. Pautan kepada laman web yang relevan yang mengandungi maklumat berguna kepada PKS, termasuk laman web institusi kewangan dan semua agensi Kerajaan yang terlibat dalam pembangunan PKS juga disediakan.

Satu ciri penting Portal ini ialah Direktori PKS percuma yang bertujuan untuk mempromosikan peluang perniagaan dan rangkaian di kalangan PKS dalam semua sektor ekonomi. Melalui Direktori PKS ini, PKS boleh mengiklankan syarikat dan produk mereka kepada jumlah pelanggan yang besar dengan menyediakan maklumat mengenai syarikat masing-masing, penerangan tentang produk dan khidmat yang ditawarkan, serta butiran tentang pihak yang boleh dihubungi. Semua PKS digalakkan mendaftar dalam Portal SMEinfo supaya maklumat dan peluang rangkaian yang tersedia dapat dimanfaatkan. PKS boleh mendaftar secara dalam talian dengan memasuki Portal SMEinfo (di bawah "pendaftaran ahli baru PKS"), atau dengan menghubungi Bank Negara Malaysia di alamat berikut:

Jabatan Kewangan Pembangunan dan Enterpris
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato' Onn
50480 Kuala Lumpur

Tel: 03 2693 2330
Faks: 03 2691 7052

Portal SMEinfo ini ialah satu inisiatif penting untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan penyebaran maklumat kepada PKS. Tiada sebarang fi dan caj dikenakan untuk mendapat akses kepada Portal ini, termasuk untuk mendaftar dalam Direktori PKS.


Bank Negara Malaysia
10 Februari 2006

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?