Produk Pembiayaan Perdagangan Baru Untuk PKS

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1700 pada Isnin, 16 Januari 2006
16 Jan 2006 Siaran Akhbar

Berkuat kuasa pada hari ini, semua bank peserta akan menawarkan produk pembiayaan perdagangan baru, iaitu Pembiayaan Perdagangan Pelbagai Mata Wang (Multi Currency Trade Finance atau MCTF) dan Skim Pembiayaan Pengeksport Tak Langsung (Indirect Exporter Financing Scheme atau IEFS) di bawah pembiayaan konvensional dan Islam kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). MCTF menyediakan pembiayaan dalam Ringgit dan mata wang asing utama kepada pengeksport langsung Malaysia dalam bentuk pembiayaan sebelum dan selepas penghantaran. IEFS pula menyediakan pembiayaan dalam Ringgit kepada pengeksport tak langsung tanpa rekursa, yang mana bank peserta akan mendiskaun invois perdagangan mereka daripada pembekalan barangan dan perkhidmatan kepada pengeksport langsung.

Produk pembiayaan perdagangan baru ini diperkenalkan untuk menggalakkan penyertaan PKS yang lebih meluas dalam pasaran eksport, terutamanya dalam pasaran bukan tradisional serta perdagangan dengan anggota Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam (OIC). Produk ini akan memberi manfaat kepada PKS melalui pengurangan kos pembiayaan tanpa memerlukan cagaran. Di bawah pengaturan ini, PKS boleh mendapat pembiayaan daripada bank peserta, dengan risiko kredit dikongsi bersama antara bank peserta dengan Export-Import Bank of Malaysia Berhad (Exim Bank).

Bank peserta dalam skim ini ialah Malayan Banking Berhad, Bumiputra-Commerce Bank Berhad, RHB Bank Berhad, Affin Bank Berhad, Alliance Bank Malaysia Berhad, AmBank Berhad, EON Bank Berhad, Hong Leong Bank Berhad, Public Bank Berhad, Southern Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, RHB Islamic Bank Berhad, Commerce Tijari Bank Berhad, Hong Leong Islamic Bank Berhad dan Bank PKS.

Untuk maklumat lanjut mengenai MCTF dan IEFS, PKS boleh menghubungi bank peserta atau Exim Bank.


Bank Negara Malaysia
16 Januari 2006

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?