Professor Datuk Rifaat Ahmed Abdel Karim diumum sebagai penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2016

14 Nov 2016 Siaran Akhbar

Professor Datuk Rifaat Ahmed Abdel Karim, PhD, hari ini telah diberikan Anugerah Diraja Kewangan Islam 2016 (Anugerah Diraja) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Diadakan setiap dua tahun, Anugerah Diraja yang diterajui oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia ini mengiktiraf individu-individu yang telah berjaya dalam usaha mereka untuk memajukan kewangan Islam di peringkat global melalui sumbangan dan pencapaian cemerlang mereka.

Sumbangan besar Profesor Datuk Rifaat kepada pembangunan industri perkhidmatan kewangan Islam termasuk peranan yang dimainkan oleh beliau dalam penubuhan dua badan penetap piawaian antarabangsa – Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB). Beliau merupakan Setiausaha Agung IFSB yang pertama, jawatan yang disandangnya sejak IFSB mula beroperasi pada 2003 hingga 2011. Di bawah pengawasannya, keanggotaan IFSB meningkat daripada sembilan anggota asal pada 2003 kepada hampir 200 anggota pada 2010, dari 40 buah negara.

Pada 2012, Profesor Datuk Rifaat memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif International Islamic Liquidity Management, sebuah institusi antarabangsa yang ditubuhkan oleh bank-bank pusat, pihak berkuasa kewangan dan organisasi pelbagai hala dengan objektif utama untuk menerbitkan instrumen kewangan patuh Syariah jangka pendek boleh diniagakan dalam denominasi mata wang rizab utama, bagi memudahcarakan pengurusan kecairan rentas sempadan dalam kalangan bank-bank Islam. Beliau telah berjaya mendapat sokongan dan komitmen daripada bank-bank pusat dan pihak berkuasa kawal selia yang mengambil bahagian untuk menerbitkan sukuk pertama denominasi dolar AS boleh diniagakan dengan tempoh matang kurang daripada satu tahun pada 2013. Sukuk tersebut merupakan salah satu daripada kejayaan utama dan mewakili satu kelas aset baharu dalam industri perkhidmatan kewangan Islam.

Profesor Datuk Rifaat merupakan Profesor Pelawat di International Capital Market Association (ICMA) Centre, Henley Business School, University of Reading, United Kingdom, dan sebelum ini, merupakan Ahli Majlis Pentadbir Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Malaysia. Beliau ialah seorang penulis terkenal dan telah mengarang sebilangan kertas kerja akademik dan profesional dalam bidang-bidang utama termasuk perakaunan, kewangan, tadbir urus, Syariah dan isu-isu kawal selia untuk terus menyumbang kepada pembangunan kewangan Islam.

"Wawasan dan kesungguhan Professor Datuk Rifaat terhadap kewangan Islam, dan kefahamannya yang mendalam terhadap kewangan konvensional dan Islam, membolehkan beliau mempelopori banyak bidang baharu dan menetapkan standard yang penting kepada pertumbuhan pesat kewangan Islam di peringkat global," menurut Tun Musa Hitam, Pengerusi lapan ahli jemaah juri bebas antarabangsa bagi Anugerah Diraja tersebut.

Ketika menerima Anugerah Diraja itu, Profesor Datuk Rifaat berkata, "Anugerah Diraja ini merupakan satu penghormatan besar kerana ia mengiktiraf usaha-usaha yang telah dilakukan selama ini. Ia turut memberi lebih banyak peluang bagi saya untuk berbakti kepada masyarakat melalui perkongsian ilmu."

Penerima Anugerah Diraja ini menjadi teladan baik yang memberi inspirasi kepada orang lain untuk menyumbang dalam memajukan industri. Tiga penerima anugerah sebelum ini ialah Dato' Dr Abdul Halim Ismail, anggota pengasas bank Islam pertama di Malaysia (2014), Iqbal Khan, Ketua Pegawai Eksekutif Fajr Capital (2012) dan Shaikh Saleh Abdullah Kamel, pengasas Dallah Al Baraka Group, salah sebuah konglomerat terbesar di Timur Tengah (2010).

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Bagi pihak Inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC)

×

Pihak media boleh menghubungi Jabatan Hal Ehwal Korporat di talian 03-62048305 (Lau Mei San), 03-62048265 (Delyana Nordin), 03-62048326 (Teoh El Sen) atau no. faks: 03-62015078 atau emel: [email protected].

NOTA KEPADA EDITOR

Penerima pertama Anugerah Diraja Kewangan Islam pada 2010 ialah Shaikh Saleh Abdullah Kamel dari Arab Saudi yang usahanya selama lebih empat dekad telah mempercepatkan penerimaan global terhadap kewangan Islam dan seterusnya mempunyai impak dari segi kewangan, ekonomi dan sosial di seluruh dunia. Shaikh Saleh diperakui secara meluas sebagai perintis pemakaian prinsip-prinsip patuh Syariah dalam perbankan dan perniagaan dan merupakan antara individu pertama yang merangka kontrak Islam untuk digunakan dalam operasi perniagaannya pada tahun 1960-an. Untuk memberi inspirasi dan membangunkan tenaga kerja dan inovasi masa hadapan, beliau telah menubuhkan Pusat Penyelidikan Ekonomi Islam, King Abdulaziz University dan Pusat Sains dan Teknologi Jeddah di Arab Saudi serta mengasaskan Pusat Saleh Kamel bagi Ekonomi Islam, Universiti Al-Azhar, Kaherah dan Pusat Saleh Kamel bagi Kajian dan Penyelidikan Perbankan, di King Saud University, Arab Saudi.

Anugerah Diraja pada 2010 juga telah mengiktiraf Allahyarham Dr Ahmad El-Naggar yang sering dirujuk sebagai 'Bapa Perbankan Islam Moden'.  Dr El-Naggar pernah menerajui eksperimen moden pertama perbankan Islam dengan mewujudkan sebuah bank simpanan atas dasar perkongsian untung.

Pada 2012, Anugerah Diraja telah diberikan kepada Iqbal Khan kerana dedikasi, semangat dan kepimpinan luar biasa beliau dalam mempercepat pertumbuhan global dan akses kewangan Islam. Iqbal Khan memainkan peranan penting dalam memudah cara, menggalakkan menginovasi dan kewangan Islam di peringkat global.  Iqbal Khan juga memainkan peranan penting dalam mewujudkan beberapa institusi dan inisiatif dalam industri kewangan Islam, termasuk Citi Islamic Investment Bank, Projek Kewangan Islam di Universiti Harvard, Meezan Bank, HSBC Amanah dan Fajr Capital yang mana beliau menjadi Ahli Lembaga Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya. Beliau juga berperanan penting dalam menginovasi dan mempromosi sukuk global sebagai satu mekanisme penjanaan modal oleh kerajaan-kerajaan. Pada 2006, beliau menerima Anugerah Euromoney atas Sumbangan Cemerlang kepada Kewangan Islam, dan telah dicalonkan dan dipilih oleh Islamic Financial News sebagai Ahli Perbankan Individu Islam Terbaik bagi tahun 2005. Beliau juga diiktiraf oleh Dewan Perwakilan Rakyat Amerika Syarikat pada 2000 atas sumbangan beliau dalam bidang kewangan dan ekonomi. Pada tahun yang sama, beliau memenangi Anugerah LARIBA bagi Kecemerlangan dalam Bahagian Pengamal Perbankan Islam.

Anugerah Diraja Kewangan Islam 2014 telah disampaikan kepada Dato' Dr Abdul Halim Ismail, rakyat Malaysia pertama menerima anugerah ini sebagai pengiktirafan peranan utama beliau dalam mewujudkan struktur organisasi dan prosedur operasi bank Islam yang pertama pada 1983. Beliau telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Bank Islam dan Pengerusi lembaga pengarah Syarikat Takaful Malaysia, syarikat insurans Islam pertama di negara ini. Pada 1994, Dr Abdul Halim juga membantu untuk menubuhkan BIMB Securities, syarikat broker saham Islam yang pertama di Malaysia. Di bawah pengawasan beliau, kedua-dua industri dan institusi kewangan berkembang, menjadikan kewangan Islam satu alternatif yang semakin menarik dan pelengkap kepada kewangan konvensional. Visi dan kepimpinan beliau juga telah menjadikan Bank Islam sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang berjaya dan teguh dalam menegakkan amalan terbaik Syariah.

Untuk maklumat lanjut mengenai Anugerah Diraja Kewangan Islam, sila layari www.theroyalaward.com.

Mengenai Pasaran Kewangan Islam Malaysia
Sejak diperkenalkan lebih 30 tahun lalu, kewangan Islam di Malaysia telah berkembang sebagai sebuah pasaran kewangan Islam yang komprehensif dan sofistikated. Pasaran ditentukan oleh pengawalseliaan, pengawasan, rangka kerja Syariah dan perundangan yang kukuh, pasaran utama yang luas dan pasaran sukuk sekunder yang aktif, penggiat pasaran dan tenaga mahir yang pelbagai dengan keupayaan global dan hubungan bagi urusan perniagaan di mana sahaja di dunia, inovasi produk, sistem yang luas, mendalam dan cekap bagi penjelasan dan penyelesaian pelbagai mata wang. Pasaran kewangan Islam Malaysia terbuka kepada penggiat industri global dan peserta pasaran untuk bekerjasama dan meraih manfaat bersama daripada persekitaran perniagaan yang sangat kondusif terhadap inovasi, kepakaran dan aliran urus niaga.

Pasaran kami merupakan satu ekosistem kewangan Islam yang menyeluruh dan persekitaran perniagaan bagi infrastruktur, inovasi, kepakaran dan aliran urus niaga, disokong oleh Komuniti Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), yang terdiri daripada institusi-institusi kewangan, firm profesional, pengawal selia dan agensi kerajaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai pasaran kewangan Islam Malaysia, sila layari www.mifc.com, ikuti kami di @MalaysiaIF dan muat turun download MYIF app di Apple Store dan Google Play.

Mengenai Bank Negara Malaysia

Bank Negara Malaysia (BNM) ditubuhkan pada tahun 1959, bawah Akta Bank Pusat Malaysia1958 (semakan semula pada tahun 2009). Bank pusat tersebut pada dasarnya dipertanggungjawabkan bagi menjaga kestabilan monetari dan kewangan dan melakukan pemantauan ke atas sistem pembayaran di negara ini. 
Sehingga kini, BNM telah memberikan sumbangan penting kepada pembangunan sektor kewangan yang menyeluruh, cekap dan bingkas, yang berupaya memenuhi keperluan sofistikated pengguna dan perniagaan yang semakin meningkat. Sektor kewangan Malaysia kini merangkumi kedua-dua perkhidmatan kewangan konvensional dan Islam.

Berfokuskan kepada kewangan Islam yang Malaysia mempunyai kelebihan boleh banding, BNM menerajui usaha mempromosikan Malaysia sebagai sebuah Pusat Kewangan Islam Antarabangsa. Dalam inisiatif ini, BNM meluluskan lesen bagi menubuhkan Bank Islam Antarabangsa dan Pengusaha Takaful Antarabangsa, serta memfokuskan kepada pembinaan institusi termasuk penubuhan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dan Akademi Penyelidikan Syariah bagi Kewangan Islam Antarabangsa (ISRA) dalam menggalakkan latihan, pendidikan dan penyelidikan bagi memajukan pembangunan bakat bagi industri perkhidmatan kewangan Islam. Dalam pada itu, Majlis Penasihat Syariah BNM memastikan penggunaan prinsip-prinsip Syariah ke atas perkhidmatan kewangan Islam oleh penyedia di bawah bidang kuasa BNM dan bertindak sebagai penasihat kepada BNM mengenai perkara-perkara berkaitan Syariah bagi perkhidmatan berkenaan. 

Layari www.bnm.gov.my untuk maklumat lanjut.

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), yang ditubuhkan bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, adalah sebuah badan statutori yang melapor kepada Menteri Kewangan, Malaysia. 

SC mempunyai tanggungjawab secara langsung bagi menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran has termasuk bursa dan rumah penjelasan, serta orang yang dilesenkan bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Fungsi ini diperkukuh dengan matlamat utama untuk melindungi pelabur.  SC juga bertanggungjawab menggalakkan dan membangunkan pasaran sekuriti dan niaga hadapan di Malaysia. 

SC mempelopori pembangunan pasaran Islam Malaysia (ICM) Sehingga kini, SC telah membina kerangka kerja yang komprehensif dan mudah cara bagi dana Islam dan pengurusan kekayaan. Selain itu, SC juga memacu inovasi produk dalam sektor ekuiti dan sukuk Islam (bon Islam); di samping menggalakkan pendidikan, latihan, perundingan dan penyelidikan bagi ICM. Majlis Penasihat Syariah (MPS) juga ditubuhkan bagi memberikan nasihat terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan aktiviti dan produk pasaran modal Islam.

Layari www.sc.com.my untuk maklumat lanjut.


Bank Negara Malaysia
14 November 2016

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?