Program Jelajah Bulan Literasi Kewangan 2022 ke Seluruh Negara bagi Mempromosikan Celik Kewangan Digital
Pada 1 Oktober 2022, Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN) telah melancarkan Bulan Literasi Kewangan 2022 (Financial Literacy Month, FLM2022) di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM). FLM2022 merupakan acara utama tahunan FEN untuk meningkatkan kesedaran pengguna mengenai isu-isu kewangan penting dan menambah baik tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. FLM2022 akan berlangsung sepanjang bulan Oktober 2022.
Semasa majlis pelancaran FLM2022, Timbalan Gabenor Jessica Chew telah menekankan bahawa pendidikan kewangan adalah sangat penting bagi penggunaan perkhidmatan kewangan digital yang selamat dan berkesan. Tahap celik kewangan digital yang rendah amat membimbangkan. Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Segi Permintaan (Financial Capability and Inclusion Demand Side Survey, FCI) 2021 yang dijalankan oleh BNM mendapati bahawa satu daripada tiga individu menyatakan bahawa mereka sanggup berkongsi kata laluan atau nombor PIN (personal identification number) akaun bank mereka dengan kawan rapat. Hal ini meningkatkan risiko penipuan dalam talian, termasuk diperalatkan sebagai ‘akaun keldai’ sama ada secara sedar atau tidak sedar bagi memudahkan kegiatan penipuan. Hampir dua daripada tiga individu tidak memberikan perhatian pada ciri-ciri keselamatan laman sesawang sebelum mereka melakukan transaksi dalam talian. Kesannya, individu lebih mudah diperdaya untuk memberikan maklumat perbankan mereka melalui laman sesawang palsu yang membolehkan penipu menggunakan maklumat tersebut untuk melakukan penipuan. Penggunaan peranti dan aplikasi mudah alih yang kurang teliti juga telah menyebabkan individu menjadi mangsa penipuan seperti pancing data (phishing), penggodaman dan kecurian data. Maklumat lanjut tentang kaji selidik ini akan diterbitkan dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2022 BNM yang dijadualkan penerbitannya pada 5 Oktober 2022.
Program jelajah seluruh negara ini bertujuan untuk menyebarkan kesedaran dan pendidikan kewangan, terutamanya tentang celik kewangan digital. Inisiatif ini akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik bagi mengukuhkan keselamatan siber pengguna kewangan semasa melakukan aktiviti dalam talian (cyber hygiene) dan ceramah pengurusan kewangan peribadi. Perbincangan "Sembang dan Sebar" semasa program jelajah ini akan memberikan tumpuan pada modus operandi penipuan kewangan terkini dan konsep 3S (Soal, Sekat dan Sebar) untuk melindungi rakyat daripada penipuan kewangan. Selain itu, program jelajah ini akan mempertingkatkan kesedaran mengenai e-pembayaran dan kepentingan insurans dan takaful, terutamanya inisiatif Perlindungan Tenang, yang menyasarkan segmen yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan. Selain program jelajah, ahli-ahli FEN serta rakan usaha sama dan rakan strategik mereka akan menganjurkan pelbagai program pendidikan kewangan, seperti Pameran FLM2022, Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan, sesi khidmat nasihat perancangan kewangan #FINPLAN4U, ceramah Minggu Literasi Kewangan tentang pelbagai topik termasuk celik kewangan digital, kesedaran tentang penipuan kewangan dan perancangan persaraan, siri webinar Semak Sebelum di Scam, InvestSmart® Fest 2022, Pertandingan Video MyDuitStory 3.0 bertemakan #TakNakScam serta program pendidikan MyMoney&Me dan Fun(d) for Life.
Sepanjang FLM2022, bas FEN Mobile akan menjelajah ke 61 lokasi di seluruh negara dari kawasan pusat bandar ke kawasan luar bandar. FEN Mobile ini menyediakan sumber pendidikan kewangan bebas secara percuma meliputi pengurusan kewangan peribadi, celik kewangan digital, kesedaran tentang penipuan kewangan dan khidmat nasihat mengenai pengurusan hutang oleh AKPK. Orang ramai juga boleh mendapatkan bantuan untuk pendaftaran e-CCRIS bagi mengakses laporan kredit mereka secara dalam talian. Maklumat mengenai lokasi bas dan jelajah boleh didapati menerusi www.fenetwork.my.
Untuk maklumat lanjut mengenai program FLM2022, layari www.fenetwork.my atau laman media sosialnya di Facebook menerusi facebook.com/myfenetwork dan Instagram menerusi instagram.com/myfenetwork
Jaringan Pendidikan Kewangan
4 Oktober 2022
Lihat juga:
Mengenai Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN)
Ditubuhkan pada bulan November 2016, FEN bertindak sebagai platform antara agensi untuk meningkatkan impak inisiatif pendidikan kewangan serta mengenal pasti peluang baharu untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Usaha ini dilaksanakan melalui penjajaran yang lebih baik, kerjasama yang lebih erat dan tumpuan yang jitu terhadap penilaian impak. Ahli-ahli FEN termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan Permodalan Nasional Berhad.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.