Program Meningkatkan Tenaga Mahir dalam Sektor Kewangan
Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan Program Meningkatkan Tenaga Mahir dalam Sektor Kewangan bagi menangani kekurangan tenaga kerja mahir dalam industri kewangan. Program ini merupakan inisiatif peserta industri kewangan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia untuk melahirkan tenaga kerja profesional industri yang terlatih.
Program ini bertujuan menarik penuntut yang berkaliber tinggi, yang baru menamatkan pengajian daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negeri untuk menyertai industri kewangan - bank, insurans, bank Islam dan Takaful. Siswazah dalam disiplin perniagaan atau dalam disiplin bukan perniagaan digalakkan untuk memohon. Program ini juga terbuka kepada mereka yang sedang bekerja dalam sektor bukan kewangan yang berminat untuk meneruskan kerjaya dalam industri kewangan.
Program tajaan industri kewangan ini menyediakan latihan teknikal yang komprehensif dan intensif sehingga setahun dalam perbankan dan insurans termasuk kewangan Islam dan takaful. Modul latihan bagi program ini juga merangkumi simulasi, bengkel dan kajian kes di samping pendedahan latihan sambil bekerja melalui latihan amali dengan institusi-institusi kewangan.
Peserta program ini akan menerima biasiswa sebanyak RM2,200 sebulan di samping perlindungan kesihatan dan insurans asas. Peserta yang berjaya menamatkan program ini akan diserap masuk ke dalam sektor kewangan.
Maklumat lanjut berhubung dengan program ini boleh diperoleh melalui laman web di atau e-mel kepada [email protected].
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.