Prototaip Project Nexus BIS berjaya menghubungkan sistem pembayaran Eurosystem, Malaysia dan Singapura; rakan kongsi di Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand untuk berusaha meluaskan ketersambungan pembayaran
- Bagi menambah baik pembayaran rentas sempadan, BIS Innovation Hub Singapore Centre telah membangunkan konsep Nexus, satu rangkaian pelbagai hala yang pertama seumpamanya yang menghubungkan berbilang sistem pembayaran segera domestik (instant payment systems, IPS).
- Prototaip Nexus berjaya menyambungkan IPS ujian Eurosystem, Malaysia dan Singapura, yang membenarkan pembayaran dihantar ke ketiga-tiga sistem dengan hanya menggunakan nombor telefon mudah alih.
- Dalam fasa seterusnya, BIS dan bank-bank pusat Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand akan bekerjasama ke arah menghubungkan IPS domestik mereka melalui Nexus.
BIS Innovation Hub Singapore Centre dan rakan-rakan kongsinya hari ini mengumumkan kejayaan menyambung versi ujian tiga IPS sedia ada dengan menggunakan model Nexus, dan menggariskan fasa projek seterusnya untuk membangunkan potensi sebenar rangkaian pelbagai hala yang boleh dikembangkan merentasi lebih banyak negara.
Kerjasama sepanjang tahun itu melibatkan Bank of Italy, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Monetary Authority of Singapore (MAS), serta pengendali sistem pembayaran PayNet dan Banking Computer Services (BCS). Pembayaran ujian dimulakan dengan hanya menggunakan nombor telefon mudah alih atau nombor pendaftaran syarikat penerima melalui TARGET Instant Payment System (TIPS) Eurosystem, Platform Pembayaran Runcit (RPP) Masa Nyata Malaysia dan sistem pembayaran Fast and Secure Transfers (FAST) Singapura.
Laporan Nexus, yang diterbitkan hari ini, memberikan butiran tentang eksperimen awal dan spesifikasi teknikal untuk hubungkait pelbagai hala sistem pembayaran. Kejayaan eksperimen itu membuka jalan bagi BIS Innovation Hub Singapore Centre untuk meneroka aplikasi praktikal untuk rangkaian pelbagai hala teragih.
Nexus bertujuan untuk menyokong keutamaan G20 untuk menambah baik kos, kelajuan, akses dan ketelusan pembayaran rentas sempadan dengan menghubungkan IPS domestik merentas berbilang negara melalui pendekatan dipiawaikan dan pelbagai hala. Sistem ini direka untuk menampung perbezaan antara IPS, dan bukannya untuk menyeragamkan mereka.
Untuk fasa projek yang seterusnya – sejajar dengan Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama dalam Keterhubungan Pembayaran Serantau pada bulan November 2022 – Bank Indonesia, BNM, Bangko Sentral ng Pilipinas (BSP), MAS dan Bank of Thailand akan memanfaatkan pengalaman masing-masing daripada Fasa I dan Fasa II projek ke arah menghubungkan IPS negara mereka dan memudahkan transaksi rentas sempadan yang melibatkan populasi kira-kira 500 juta orang.
BIS Innovation Hub Singapore Centre akan bekerjasama dengan bank-bank pusat ini untuk memudahkan proses reka bentuk mereka, dalam usaha menghubungkan sistem pembayaran domestik mereka.
Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Suhaimi Ali berkata, "Visi kami adalah untuk merealisasikan aspirasi bersama untuk pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, lebih murah dan lebih mudah diakses. Kami berbesar hati untuk mengambil bahagian dalam Fasa 3 Projek Nexus untuk merealisasikan visi itu. Membina atas kejayaan bukti konsep Nexus, kami berada pada kedudukan yang baik untuk mempercepatkan pembangunan model ketersambungan pembayaran generasi seterusnya ini untuk membawa manfaat yang ketara kepada rakyat Malaysia dan Asean."
“Saya teruja dengan kejayaan kami dalam menghubungkan tiga sistem pembayaran nasional dan potensi yang ditunjukkan untuk Nexus. Ia membuka jalan untuk pembangunan selanjutnya, dan kami berharap dapat bekerjasama dengan rakan-rakan bank pusat kami pada fasa projek yang seterusnya,” kata Cecilia Skingsley, Ketua BIS Innovation Hub.
“Meningkatkan kelajuan dan ketelusan pembayaran runcit rentas sempadan, sambil mengurangkan kosnya, adalah teras agenda G20. Banca d'Italia berpegang pada komitmen ini. Kejayaan dalam menghubungkan tiga sistem pembayaran dan potensi yang ditunjukkan untuk Nexus, merupakan langkah ke hadapan yang penting ke arah ini,” kata Timbalan Gabenor Banca d’Italia, Piero Cipollone.
“Kami mengucapkan tahniah kepada BIS Innovation Hub Singapore Centre dan rakan kongsinya dari Itali, Malaysia dan Singapura atas kejayaan menyiapkan bukti konsep Projek Nexus. Fasa kedua membolehkan kami memanfaatkan potensi ketersambungan pelbagai hala sistem pembayaran pantas di kalangan negara penggerak pertama di ASEAN. Membina atas momentum ini, kami berharap dapat bekerjasama dengan BIS dan kaunterparti kami di ASEAN dalam meningkatkan pembayaran runcit masa nyata merentas sempadan yang boleh memudahkan integrasi kewangan di rantau ini. Dengan sektor digital yang semakin berkembang dan kiriman wang kekal sebagai pemacu pertumbuhan yang penting, Filipina terus komited untuk membuat pembaharuan yang diperlukan untuk mewujudkan landskap pembayaran global yang lebih lancar. Kami percaya projek ini adalah langkah konkrit ke arah ini,” tambah Gabenor BSP, Felipe M. Medalla.
“Project Nexus merevolusikan pembayaran rentas sempadan dengan mengaitkan berbilang sistem pembayaran pantas untuk mencipta rangkaian global mampu diskala. Bank of Thailand berbesar hati untuk memainkan peranan yang penting dalam projek ini, dengan memanfaatkan pengalaman kami dalam membangunkan hubungan ‘PromptPay-PayNow’ Thailand dan Singapura. Nexus menyasarkan untuk menyampaikan sistem alternatif yang pantas, cekap dan kos rendah untuk pembayaran rentas sempadan, dengan pengalaman pengguna yang serupa dengan pembayaran domestik,” kata Siritida Panomwon Na Ayudhya, Penolong Gabenor, Bank of Thailand.
“Digalakkan oleh komitmen kerjasama dalam Ketersambungan Pembayaran Serantau yang dimeterai semasa Sidang Kemuncak Pemimpin G20 Indonesia pada November 2022, fasa Project Nexus seterusnya akan menjadi langkah utama kerja bersama kami ke arah ketersambungan pembayaran yang lebih meluas. Objektif kami kekal untuk mempercepatkan rangkuman kewangan serantau serta melaksanakan sistem pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, lebih murah, lebih telus dan mudah diakses yang akan memberi manfaat kepada kita semua,” Gabenor Bank Indonesia Perry Warjiyo kata.
“Prototaip Nexus yang berjaya antara Singapura, Malaysia dan Eurosystem merupakan satu kejayaan ulung yang membuktikan daya maju teknikal ketersambungan sistem pembayaran segera pelbagai hala. Fasa kerja seterusnya oleh bank pusat Singapura, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand akan menjadi penting dalam meletakkan asas untuk pelaksanaan masa depan secara berskala. Kemajuan ASEAN dalam ketersambungan pembayaran serantau meletakkan kami dalam kedudukan yang baik untuk merealisasikan visi Nexus untuk rangkaian pembayaran segera global,” kata Sopnendu Mohanty, Ketua Pegawai FinTech, MAS.
Melihat ke hadapan, BIS dan lima bank pusat membayangkan bahawa Nexus akhirnya boleh dilaksanakan secara global. Untuk mencapai matlamat ini, mereka akan berhasrat untuk menubuhkan Panel Penasihat Global bank-bank pusat dan pengendali sistem pembayaran untuk memberi nasihat mengenai pembangunan projek ini di luar rantau Asia Tenggara. Bank of Italy dan Bank Pusat Eropah akan dijemput untuk menyertai panel ini.
BIS juga merancang untuk menjalankan webinar mengenai bukti konsep Nexus pada 5 April. Butiran pendaftaran akan menyusul.

Bank Negara Malaysia
BIS Innovation Hub
Banca d’Italia
Bangko Sentral ng Pilipinas
Bank Indonesia
Bank of Thailand
Monetary Authority of Singapore
Konsep Nexus
Terdapat lebih daripada 60 sistem pembayaran segera di seluruh dunia, yang biasanya membenarkan orang ramai menghantar wang dalam masa beberapa saat. Walau bagaimanapun, semuanya adalah sistem domestik dan pembayaran antarabangsa kekal legap, perlahan dan mahal. Usaha untuk menghubungkan sistem domestik secara dua hala dengan negara lain akan menjadi mahal dan rumit, yang menghasilkan pautan berbilangan eksponen.
Konsep Nexus ialah rangkaian terpiawai dan pelbagai hala yang direka untuk menampung perbezaan yang banyak antara sistem nasional. Pengendali sistem pembayaran tidak perlu membina sambungan tersuai untuk setiap negara baharu yang ingin disambungkan, tetapi hanya perlu mewujudkan satu sambungan ke rangkaian Nexus.
Webinar Nexus PoC – 5 April. Butiran pendaftaran akan menyusul.
Sejarah pembangunan
Diinspirasikan oleh hubungan dua hala perintis antara PayNow Singapura dan PromptPay Thailand, yang dilancarkan pada bulan April 2021, BIS Innovation Hub Singapore Centre telah membangunkan pelan tindakan untuk rangkaian rentas sempadan pelbagai hala.
Pada tahun 2022, BIS Innovation Hub Singapore Centre dan sekumpulan rakan kongsi – bank-bank pusat Itali, Malaysia dan Singapura, serta pengendali sistem pembayaran Malaysia dan Singapura (masing-masing PayNet dan BCS) telah membangunkan prototaip kerja yang berjaya, yang menghubungkan TIPS Eurosystem, RPP Malaysia dan FAST Singapura.
Ujian menunjukkan bahawa pembayaran boleh dihantar merentasi tiga bidang kuasa ini dengan hanya menggunakan nombor mudah alih penerima.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.