Pusat Tadbir Urus Baharu Ditubuhkan di ICLIF
Bank Negara Malaysia dengan ini mengumumkan bahawa program Pendidikan Pengarah Institusi Kewangan (Financial Institution Director's Education program, FIDE) kini akan ditadbir dan dikendalikan sepenuhnya oleh Pusat Kepimpinan Kewangan Antarabangsa di bawah Pusat Tadbir Urusnya yang baru ditubuhkan. Berikutan perkembangan ini, ICLIF (International Centre for Leadership in Finance) kini dikenali sebagai Pusat Kepimpinan dan Tadbir Urus ICLIF.
Program FIDE yang dibangunkan dengan usaha kerjasama antara Bank Negara Malaysia, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dan ICLIF telah dilancarkan pada tahun 2008 dengan matlamat untuk menggalakkan kewujudan lembaga pengarah yang berimpak tinggi dalam sektor kewangan dan pengarah bertaraf dunia yang menyokong amalan terbaik dan kecemerlangan dalam tadbir urus korporat. Ini memandangkan peranan kritikal tadbir urus, dan terutamanya kualiti lembaga pengarah, yang telah ditonjolkan dalam krisis kewangan baru-baru ini sebagai amat penting dalam usaha untuk memperkukuh kestabilan kewangan melalui pengurusan institusi kewangan yang mantap, berhemat dan bertanggungjawab.
Sehingga kini, lebih daripada 200 pengarah institusi kewangan Malaysia telah memperoleh manfaat daripada program FIDE dan menjadi pemangkin kepada perubahan amalan lembaga pengarah dalam organisasi mereka. Pada masa ini, FIDE merupakan satu-satunya inisiatif tadbir urus di rantau ini yang memberikan tumpuan khusus kepada sektor kewangan
Di bawah Pusat Tadbir Urus ICLIF, FIDE akan meluaskan jangkauannya untuk meliputi penyertaan pengarah institusi kewangan dari negara-negara rantau Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika. Fakulti yang telah dipertingkat di ICLIF terdiri daripada pakar-pakar yang tersohor daripada institusi terulung dunia termasuk Harvard Business School dan IMD Business School di Switzerland. Ini akan memperkukuh keupayaan FIDE untuk menyediakan program pendidikan bertaraf dunia bagi pengarah institusi kewangan yang perlu menangani isu dan cabaran tadbir urus yang paling utama yang dihadapi oleh mereka pada hari ini. Komitmen FIDE kepada pembelajaran seumur hidup dan pembangunan rangkaian sokongan yang berkesan untuk pengarah institusi kewangan juga akan dipelihara dan diperkukuh dengan adanya sumber khusus di bawah ICLIF untuk penyelidikan, pembangunan program baharu dan penyediaan perkhidmatan sokongan yang meluas untuk pengarah.
Bank Negara Malaysia
21 September 2010
Mengenai FIDE
Matlamat FIDE adalah untuk:
- memperkukuh kemahiran dan pengetahuan pengarah untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan
- menggalakkan kecemerlangan dalam prestasi pengarah
- melengkapi pengarah dengan kefahaman yang mendalam tentang isu dan perkembangan semasa dalam industri kewangan
- mewujudkan persekitaran yang membolehkan pengarah saling belajar daripada pengalaman masing-masing
- mewujudkan sekumpulan pengarah bebas pada masa hadapan
Program FIDE menerapkan pendekatan kerjasama dan inovatif dalam penyampaiannya, dan tumpuan khususnya terhadap perkhidmatan kewangan menyediakan persekitaran unik kepada pengarah untuk mempertingkat dengan ketara pengalaman pembelajaran dengan berinteraksi antara satu sama lain serta ahli fakulti tentang cabaran umum dan pengalaman praktikal mereka.


Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.