Rangka Kerja Bank Pelaburan
Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti hari ini mengumumkan secara bersama bahawa rangka kerja mengenai bank pelaburan kini diperluas kepada broker universal. Langkah ini bertujuan meningkatkan lagi kapasiti dan keupayaan pengantara pasaran modal domestik dalam menyumbang ke arah pembangunan sistem kewangan yang lebih berdaya tahan, kompetitif dan dinamik serta menyokong transformasi ekonomi.
Broker universal pada masa ini menjalankan dan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang sama seperti bank pelaburan. Transformasi broker universal menjadi bank pelaburan akan seterusnya mengukuhkan potensi mereka untuk mengambil kesempatan daripada peluang perniagaan yang lebih luas, mempelbagaikan sumber pendanaan mereka dan mempertingkat keupayaan mencipta pasaran dalam pasaran modal.
Dalam usaha untuk menjadi bank pelaburan, broker universal perlu bergabung dengan sebuah syarikat diskaun dan akan tertakluk pada pengawalseliaan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti. Kumpulan kewangan yang memiliki syarikat diskaun kini dibenarkan untuk merasionalisasikan syarikat diskaun mereka untuk menjadi bank pelaburan atau menjual syarikat diskaun itu.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.