Rangka Kerja Kadar Rujukan yang Dikemas Kini
Bank Negara Malaysia mengumumkan pada hari ini penerbitan Rangka Kerja Kadar Rujukan yang dikemas kini. Rangka Kerja ini akan berkuat kuasa pada 1 Ogos 2022. Di bawah rangka kerja yang dikemas kini tersebut, Kadar Asas Standard (Standardised Base Rate) akan menggantikan Kadar Asas (Base Rate, BR) sebagai kadar rujukan bagi pinjaman runcit berkadar terapung yang baharu.
Kadar rujukan merupakan kadar faedah yang boleh diakses oleh orang ramai dan digunakan oleh institusi kewangan sebagai asas untuk menentukan kadar faedah untuk pinjaman. Rangka Kerja Kadar Rujukan diperkenalkan pada tahun 2015, yang menetapkan BR sebagai kadar rujukan untuk pinjaman runcit berkadar terapung di Malaysia. Di bawah rangka kerja ini, institusi kewangan menggunakan kaedah yang berbeza untuk menetapkan BR masing-masing. Hal ini menyebabkan pengguna lebih sukar untuk membandingkan produk pinjaman runcit yang ditawarkan oleh setiap institusi kewangan dan memahami sebab-sebab di sebalik perubahan pada bayaran balik pinjaman mereka. Selain itu, kaedah penetapan BR yang berbeza antara institusi kewangan telah menyebabkan transmisi dasar monetari yang semakin tidak sekata.
Melalui Rangka Kerja Kadar Rujukan yang dikemas kini tersebut, Kadar Asas Standard akan digunakan sebagai kadar rujukan yang sama bagi semua institusi kewangan untuk pinjaman runcit berkadar terapung yang baharu. Kadar Dasar Standard ini akan dihubungkan hanya kepada Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR). Oleh itu, Kadar Asas Standard hanya akan berubah apabila berlaku perubahan pada OPR, yang ditentukan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia. Komponen penetapan kadar faedah untuk pinjaman yang lain seperti risiko kredit peminjam, premium risiko mudah tunai, kos operasi, margin keuntungan dan kos-kos lain akan terus dicerminkan dalam spread yang melebihi Kadar Asas Standard.
Penggunaan OPR sebagai Kadar Asas Standard akan memudahkan lagi perbandingan dan lebih telus kepada pengguna. Gabenor Datuk Nor Shamsiah berkata, “Pelanggan akan lebih mudah memahami perubahan dalam bayaran balik pinjaman mereka memandangkan OPR akan menjadi satu-satunya penentu bagi Kadar Asas Standard. Kadar Asas Standard juga akan menyokong transmisi dasar monetari yang berkesan kerana pelarasan sepenuhnya pada bayaran balik pinjaman runcit akan dilaksanakan mengikut perubahan pada OPR.”
Kadar Asas Standard akan berkuat kuasa sebagai kadar rujukan bagi penentuan kadar faedah untuk pinjaman runcit berkadar terapung baharu dan pembiayaan semula pinjaman sedia ada mulai 1 Ogos 2022 dan seterusnya. Tempoh peralihan selama satu tahun akan memberikan masa yang mencukupi untuk institusi kewangan membuat persediaan dan penambahbaikan sistem yang diperlukan bagi memastikan pelaksanaan rangka kerja yang dikemas kini berjalan dengan lancar. Peralihan kepada Kadar Asas Standard tidak akan memberikan kesan kepada kadar pinjaman efektif bagi pinjaman runcit sedia ada, kerana pinjaman runcit sedia ada akan terus menggunakan BR dan Kadar Pinjaman Asas (Base Lending Rate, BLR) sebagai rujukan. Selepas tarikh kuat kuasa tersebut, BR dan BLR akan bergerak betul-betul seiring dengan Kadar Asas Standard. Jika berlaku pelarasan pada Kadar Asas Standard, BR dan BLR akan diselaraskan secara serentak. Sehubungan dengan itu, institusi kewangan akan terus memaparkan BR dan BLR mereka, selain memaparkan Kadar Asas Standard, di semua cawangan dan laman sesawang mereka selepas tarikh kuat kuasa untuk rujukan pelanggan.
Peminjam runcit baharu juga tidak sepatutnya terkesan oleh perubahan ini kerana kadar pinjaman efektif bagi peminjam baharu akan terus ditentukan secara kompetitif dan dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk penilaian institusi kewangan terhadap kedudukan kredit peminjam, keadaan pendanaan dan strategi perniagaan.
Peralihan kepada Kadar Asas Standard susulan pengemaskinian Rangka Kerja Kadar Rujukan tidak menggambarkan berlakunya perubahan pada pendirian dasar monetari oleh Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia.
Sila rujuk lampiran di bawah berkenaan Sorotan Penting tentang Rangka Kerja Kadar Rujukan yang Dikemas Kini untuk maklumat selanjutnya.
Lihat juga:
- Sorotan Penting tentang Rangka Kerja Kadar Rujukan yang Dikemas Kini
- Panduan Pengguna tentang Rangka Kerja Kadar Rujukan yang Dikemas Kini
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.