Rangka Kerja Mengenai Pembentukan Bank Pelaburan

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1800 pada Rabu, 23 Mac 2005
23 Mac 2005 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia mengumumkan pada hari ini bahawa rangka kerja bagi pembentukan bank pelaburan telah siap dan sedia untuk dilaksanakan pada separuh kedua tahun 2005. Rangka kerja ini merupakan salah satu inisiatif utama bagi mengukuhkan kapasiti dan keupayaan kumpulan perbankan tempatan untuk menyumbang ke arah transformasi ekonomi dan menghadapi cabaran liberalisasi dan globalisasi. Ia juga bertujuan untuk merasionalisasikan industri syarikat diskaun ke arah membangunkan sistem kewangan yang lebih berdaya tahan, kompetitif dan dinamik.

Berikutan kejayaan merasionalisasi bank perdagangan dan syarikat kewangan dalam kumpulan perbankan yang sama, model ini kini digunakan bagi merasionalisasi bank saudagar, syarikat broker saham dan syarikat diskaun dalam kumpulan perbankan yang sama. Syarikat diskaun yang tidak mempunyai bank saudagar dalam kumpulan perbankan mereka juga akan bergabung dengan syarikat diskaun lain untuk membentuk bank saudagar, dan seterusnya, ditukar menjadi bank pelaburan apabila ia bergabung dengan syarikat broker saham.

Pada masa ini, pengantara-pengantara pasaran ini menjalankan dan menawarkan produk dan perkhidmatan yang serupa. Penyatuan ini akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan mereka melalui pengurangan sumber dan aktiviti bertindih, penggunaan infrastruktur bersama dan memperoleh faedah sinergi dan ekonomi bidangan. Ini juga akan mengukuhkan potensi mereka untuk meraih peluang perniagaan, meningkatkan kelebihan bersaing dan memanfaatkan modal asas yang lebih besar bagi menyokong aktiviti yang lebih meluas. Para pelanggan juga akan mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan yang lebih meluas pada harga yang berpatutan.

Ciri-ciri utama bank pelaburan adalah seperti yang berikut :

Skop aktiviti

  • Bank pelaburan akan kekal menjalankan aktiviti yang dibenarkan berdasarkan lesen-lesen yang dipegang sebelum penggabungan. Oleh yang demikian, bank pelaburan akan terus menerima deposit borong, menjalankan aktiviti pemberian pinjaman bagi melengkapkan aktiviti berasaskan fi yang dijalankan dan menawarkan pelbagai aktiviti perbankan pelaburan, antara lain termasuk, nasihat kewangan, penajajaminan, pengurusan portfolio dan perkhidmatan brokeraj ekuiti.

Rangka kerja pengawalseliaan

  • Bank pelaburan akan memegang dua lesen masing-masing yang dikeluarkan menurut Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 dan Akta Perindustrian Sekuriti 1983. Bank pelaburan akan dikawal selia secara bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti. Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti akan mengambil pendekatan berasaskan objektif bagi memaksimumkan kecekapan dan keberkesanan dalam mengawal selia bank pelaburan.
  • Bank Negara Malaysia akan bertanggungjawab ke atas pengawalseliaan berhemat bagi mengekalkan kestabilan dan keutuhan bank pelaburan. Teras pengawalan Suruhanjaya Sekuriti adalah untuk menggalakkan integriti pasaran dan perlindungan para pelabur. Kedua-dua agensi kawal selia ini akan memiliki kuasa untuk menetap dan menguat kuasa peraturan, menyelia dan menjalankan pemeriksaan ke atas bank pelaburan bagi memenuhi objektif mereka. Falsafah pengawalseliaan adalah untuk mengimbangkan kestabilan kewangan sambil menggalakkan kecekapan dan persaingan.
  • Bagi memudahkan koordinasi dan kerjasama antara kedua-dua agensi kawal selia, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti akan menandatangani satu Memorandum Persefahaman yang khusus.

Keperluan modal minimum

  • Bagi memastikan bank pelaburan mempunyai kedudukan modal yang kukuh, keperluan minimum dana modal bagi bank pelaburan yang bukan merupakan sebahagian daripada kumpulan perbankan akan ditetapkan pada RM500 juta, manakala bank pelaburan yang lain pula akan dikehendaki mematuhi keperluan minimum dana modal secara berkumpulan sebanyak RM2 bilion.

Had penyertaan ekuiti asing :

  • Had penyertaan ekuiti asing bagi bank pelaburan akan dinaikkan kepada 49%. Ini adalah sebahagian daripada usaha keseluruhan untuk mengukuhkan pertalian global bank pelaburan dan meningkatkan kemahiran dan kepakaran mereka. Liberalisasi ini juga mencerminkan komitmen Malaysia terhadap usaha meliberalisasikan lagi sektor perbankan.

Bagi mengurangkan kos rasionalisasi, Kerajaan akan memberi pengecualian duti setem dan cukai untung harta tanah ke atas penggabungan bagi mewujudkan bank pelaburan.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan keberkesanan dan daya saing sistem kewangan, Bank Negara Malaysia juga akan mempertimbangkan permohonan daripada broker universal yang memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk menyertai pasaran antara bank. Akses kepada pasaran antara bank adalah untuk mengukuhkan kapasiti dan daya saing mereka dalam keadaan landskap kewangan yang semakin berubah. Ini adalah tertakluk pada had dan peraturan berhemat yang dikenakan oleh Bank Negara Malaysia bagi memastikan integriti pasaran dan kestabilan sistemik dikekalkan pada setiap masa.


Bank Negara Malaysia
23 Mac 2005

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?