Rangka Kerja Modal Semakan bagi Institusi Perbankan dan Penanggung Insurans

Embargo: Untuk siaran segera
18 Apr 2007 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia mengumumkan penerbitan rangka kerja modal semakan bagi institusi perbankan dan penanggung insurans. Rangka kerja modal semakan ini akan dilaksanakan secara percubaan bermula bulan April 2007.

Rangka kerja semakan ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk memastikan supaya rangka kerja pengawalseliaan semasa mengambil kira secara efektif persekitaran yang pesat berubah yang dihadapi oleh industri kewangan dan profil risiko institusi kewangan yang lebih kompleks ekoran tawaran produk dan perkhidmatan yang lebih sofistikated. Maklum balas daripada industri perbankan dan insurans telah diperoleh bagi memastikan rangka kerja modal semakan tersebut mengambil kira keadaan dan amalan pasaran domestik selain selaras dengan standard dan prinsip terbaik global.

Di bawah rangka kerja baru berkenaan, lembaga pengarah institusi perbankan dan penanggung insurans bertanggungjawab memainkan peranan yang lebih penting dalam memantapkan infrastruktur pengurusan risiko dan tadbir urus amalan pasaran. Rangka kerja berkenaan akan menggalakkan perlindungan yang lebih kukuh terhadap keperluan pelbagai pihak berkepentingan institusi perbankan dan penanggung insurans, terutamanya pendeposit dan pemegang polisi.

Kedua-dua rangka kerja modal semakan tersebut akan dilengkapi oleh proses penyeliaan oleh Bank Negara Malaysia dan tahap keperluan penzahiran kedudukan kecukupan modal institusi perbankan dan penanggung insurans yang dipertingkat.

Rangka Kerja Modal Semakan bagi Institusi Perbankan

Rangka kerja modal semakan institusi perbankan berasaskan pendekatan standard di bawah Basel II dan akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2008. Rangka kerja standard ini menetapkan keperluan modal dengan mengenakan wajaran risiko terlebih dahulu kepada pelbagai jenis pendedahan dalam portfolio institusi perbankan. Institusi perbankan yang telah mencapai kemajuan yang besar dalam membangunkan standard penarafan dalaman akan diberikan kefleksibelan untuk menerima pakai pendekatan Berasaskan Penarafan Dalaman (Internal Ratings-Based, IRB) pada tahun 2010 tanpa perlu mematuhi rangka kerja standard.

Rangka Kerja Modal Semakan bagi Penanggung Insurans

Rangka kerja modal semakan bagi penanggung insurans akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2009. Penanggung insurans yang mempunyai kapasiti untuk menerima pakai rangka kerja ini lebih awal, akan diberi kefleksibelan untuk berpindah kepada rangka kerja ini pada tahun 2008. Rangka kerja ini akan meningkatkan lagi rangka kerja kesolvenan sedia ada dengan adanya keperluan modal dan penilaian yang lebih telus dan terlaras risiko yang mencerminkan kesemua risiko kewangan utama penanggung insurans. Langkah ini bertujuan memastikan kedudukan modal sesebuah penanggung insurans adalah pada tahap yang setara dengan profil risikonya. Rangka kerja yang telah dipertingkat ini juga akan memberikan lebih kefleksibelan dan kelonggaran kepada penanggung insurans dalam menguruskan pelaburan.


Bank Negara Malaysia
18 April 2007

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?