Rangka Kerja Mudah Tunai untuk Rumah-rumah Diskaun

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1230 pada Rabu, 29 Mei 2002
29 Mei 2002 Siaran Akhbar

Sebagai usaha yang berterusan untuk mempertingkatkan rangka kerja untuk peraturan kehematan di dalam institusi kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) telah melanjutkan penggunaan rangka kerja mudah tunai kepada industri rumah diskaun. Rangka kerja mudah tunai tersebut akan berkuat kuasa pada 1 Jun 2002. Tujuan pelaksanaan rangka kerja ini adalah untuk memupuk amalan terbaik di dalam pengurusan mudah tunai dan meningkatkan keupayaan rumah-rumah diskaun untuk mengendalikan risiko mudah tunai. Adalah mustahak untuk meningkatkan keupayaan pengurusan risiko industri rumah diskaun agar selari dengan amalan terbaik pasaran dan juga amalan yang diterima pakai oleh institusi kewangan yang lalu.

Di bawah rangka kerja mudah tunai ini, rumah-rumah diskaun dikehendaki untuk menganjurkan profil kematangan aset, liabiliti dan komitmen luar kunci kira-kira mereka di dalam satu siri tangga kematangan bagi membolehkan mereka meramal lebihan dan kurangan mudah tunai masing-masing. Bagi memastikan mudah tunai adalah mencukupi bagi memenuhi obligasi mereka, rumah-rumah diskaun dikehendaki untuk mengekalkan lebihan mudah tunai yang mencukupi sebagai standard minimum bukan sahaja untuk memenuhi obligasi yang dijangkakan, tetapi juga untuk menampung pengeluaran dana di luar jangkaan untuk sekurang-kurangnya satu bulan. Sebelum pelaksanaan rangka kerja mudah tunai ini, rumah-rumah diskaun tidak tertakluk kepada sebarang peraturan mudah tunai.


Bank Negara Malaysia
29 Mei 2002

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?