Rangka Kerja Pembaharuan Kad Pembayaran
Bank Negara Malaysia hari ini telah mengeluarkan Rangka Kerja Pembaharuan Kad Pembayaran (Rangka Kerja) sebagai satu standard di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, dengan objektif untuk memupuk industri kad pembayaran yang cekap, telus dan berdaya saing di Malaysia. Rangka Kerja tersebut turut mengambil kira cadangan-cadangan yang terkandung di dalam Kertas Konsep (Concept Paper) yang dikeluarkan pada 10 Oktober 2014 di samping maklum balas yang diterima semasa proses mendapatkan maklum balas daripada orang ramai.
Rangka Kerja tersebut bertujuan untuk memastikan kos menerima kad pembayaran adalah adil dan berpatutan, melalui pewujudan mekanisme pembayaran balik fi yang objektif dan telus antara peserta rangkaian kad pembayaran. Di bawah Rangka Kerja ini, fi pertukaran (interchange fee) yang dibayar oleh bank-bank pemeroleh (acquiring banks) kepada bank-bank pengeluar (issuing banks) kad pembayaran akan tertakluk kepada had fi pertukaran yang ditetapkan. Memandangkan fi pertukaran tersebut terkandung dalam kadar diskaun peniaga (merchant discount rate, MDRs)yang dibayar oleh peniaga oleh pemeroleh, had fi pertukaran yang ditetapkan akan menangani risiko kenaikan dalam MDRs apabila berlakunya kenaikan dalam fi pertukaran. Sebagai prinsip am, had fi pertukaran bagi kad debit berdasarkan komponen kosnya yang layak adalah lebih rendah berbanding fi pertukaran bagi kad kredit. Prinsip ini menjadikan kad debit sebagai instrumen pembayaran yang berkesan dari segi kos untuk memudahkan lagi penerimaan kad pembayaran secara lebih meluas terutama dalam kalangan peniaga kecil.
Rangka Kerja tersebut juga memperkenalkan beberapa langkah yang dirangka untuk menangani herotan (distortion) lain dalam pasaran kad pembayaran bagi menggalakkan penggunaan dan penerimaan secara lebih meluas kad pembayaran yang berkesan dari segi kos. Langkah-langkah tersebut akan menambah baik isyarat harga dan memberikan hak kepada peniaga untuk menerima kad pembayaran yang berkesan dari segi kos.
Rangka Kerja itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dari 15 Januari 2015, apabila sebahagian besar langkah tersebut termasuk had fi pertukaran dilaksanakan mulai 1 Julai 2015.
Untuk maklumat lanjut mengenai Rangka Kerja, sila rujuk soalan lazim (FAQs) dan standard yang boleh didapati di laman sesawang BNM di www.bnm.gov.my.
Lihat juga:
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.