Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan oleh Bank Negara Malaysia dan Bank of Thailand

Embargo: Untuk siaran segera
14 Mac 2016 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia dan Bank of Thailand pada hari ini mengumumkan pelaksanaan rangka kerja penyelesaian mata wang tempatan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menggalakkan penggunaan ringgit dan baht dalam penyelesaian perdagangan dua hala antara kedua-dua negara. Ini adalah berikutan Memorandum Persefahaman yang telah ditandatangani oleh kedua-dua bank pusat tersebut pada bulan Ogos 2015.

Pengenalan rangka kerja ini membolehkan urus niaga pertukaran mata wang tempatan dan pengurusan pendedahan pertukaran asing yang disebabkan oleh transaksi perdagangan dilaksanakan dengan lebih cekap. Dengan rangka kerja ini, para peniaga di Malaysia dan Thailand boleh memperoleh ringgit dan baht dengan lebih efisyen daripada bank-bank tempatan di negara masing-masing untuk menyelesaikan transaksi perdagangan.

Bank Negara Malaysia dan Bank of Thailand telah melantik bank-bank di Malaysia dan Thailand yang berikut untuk menyokong pelaksanaan rangka kerja ini.

  • Malaysia

Bangkok Bank Berhad
CIMB Bank Berhad
Malayan Banking Berhad (Maybank)

  • Thailand

Bangkok Bank Public Company Limited
CIMB Thai Bank Public Company Limited
Kasikornbank Public Company Limited

Memandangkan ini adalah projek perintis, hanya bank-bank yang memenuhi syarat utama telah dipilih untuk memastikan kejayaan dan kelancaran operasi projek ini. Syarat ini termasuklah hubungan perniagaan yang kukuh antara kedua-dua negara, kewujudan cawangan di kedua-dua Negara, atau jumlah perdagangan yang tinggi dalam ringgit dan baht. Tambahan lagi, bank-bank tersebut telah diberikan kefleksibelan yang perlu untuk menyediakan lebih kepelbagaian perkhidmatan kewangan yang merangkumi deposit dalam ringgit dan baht serta produk pembiayaan perdagangan dan lindung nilai.

Pembentukan rangka kerja ini menandakan satu pencapaian yang penting dalam memperkukuh kerjasama kewangan antara Bank Negara Malaysia dan Bank of Thailand

Sila rujuk lampiran: Soalan-soalan lazim

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Bank Negara Malaysia
Jabatan Komunikasi Strategik
Tel: (603) 2692 8592
Fax: (603) 2693 6919

Bank of Thailand
International Strategy Division
International Department
Tel: (66) 2283 6467
Fax: (66) 2283 5116

Bank Negara Malaysia
Bank of Thailand
14 March 2016


Bank Negara Malaysia
14 Mac 2016

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?