Rasionalisasi Industri Syarikat Diskaun dan Rangka Kerja bagi Bank Pelaburan
Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti mengumumkan penyempurnaan rasionalisasi industri syarikat diskaun dan status transformasi bank saudagar, syarikat broker saham dan broker universal menjadi bank pelaburan.
Dengan penyempurnaan rasionalisasi syarikat diskaun, semua syarikat diskaun akan berhenti beroperasi menjelang 31 Disember 2006. Semua syarikat diskaun milik kumpulan perbankan kini telah bergabung dengan bank saudagar dalam kumpulan perbankan mereka. KAF Discounts Berhad telah memperoleh lesen bank saudagar daripada Menteri Kewangan pada 26 Disember 2006 dan akan diberikan masa selama enam bulan untuk menyempurnakan pelaksanaan transformasinya menjadi bank pelaburan. Dengan lesen bank saudagar, KAF Discounts Berhad akan terus menerima deposit dan menjalankan aktiviti bank saudagar berlesen menurut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989. Abrar Discounts Berhad pula tidak akan lagi beroperasi sebagai syarikat diskaun berkuat kuasa pada 31 Disember 2006. Dalam hal ini, pendeposit Abrar Discounts Berhad diberi jaminan bahawa mereka akan memperoleh semula semua deposit mereka.
Berhubungan dengan rasionalisasi bank saudagar dan syarikat broker saham dalam kumpulan perbankan, semua entiti yang berkenaan telah menerima kelulusan yang perlu untuk menjadi bank pelaburan. Kebanyakan daripada mereka dijangka dapat menyempurnakan proses perundangan dan transformasi menjadi bank pelaburan menjelang akhir tahun 2006, manakala bank saudagar selainnya akan menjadi bank pelaburan menjelang suku pertama tahun 2007.
K & N Kenanga Berhad, Hwang-DBS Securities Berhad and OSK Securities Berhad juga telah diberikan lesen bank saudagar oleh Menteri Kewangan, selepas mendapat kelulusan yang perlu untuk menjadi bank pelaburan. Broker universal yang selainnya masih dalam proses memenuhi syarat-syarat yang diperlukan untuk menjadi bank pelaburan.
Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti
29 Disember 2006

Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.