Rebat Premium bagi Pembelian Perlindungan Insurans Secara Terus daripada Syarikat Insurans

Embargo: Untuk siaran segera
19 Jun 2009 Siaran Akhbar

Sejajar dengan usaha Kerajaan untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan dan akses kepada produk dan perkhidmatan kewangan, sektor kewangan telah sejak beberapa tahun yang lalu menyediakan lebih banyak saluran penyampaian yang cekap kos. Ini juga bertujuan untuk membolehkan pengguna mendapat akses yang lebih luas kepada produk dan perkhidmatan kewangan. Sehubungan dengan itu, syarikat insurans telah menambah saluran pemasaran produk dan perkhidmatan mereka lantas memberi pengguna pilihan terbaik sesuai dengan keperluan mereka. Pemilik polisi yang membeli perlindungan insurans secara terus akan mendapat penjimatan dalam premium insurans mereka kerana berurusan sendiri dengan syarikat insurans.

Berkuat kuasa 1 Julai 2009, individu yang membeli perlindungan insurans am secara terus daripada syarikat insurans adalah layak untuk menerima rebat premium. Jumlah rebat akan bergantung pada jenis perlindungan insurans yang dibeli. Bagi pembeli insurans motor, mereka akan menerima rebat premium sebanyak 5% pada tahun pertama berkuat kuasanya pelaksanaan dan 10% pada tahun-tahun berikutnya. Bagi pembeli-pembeli lain termasuk syarikat perniagaan, syarikat insurans mempunyai fleksibiliti dalam pemberian rebat. Pembelian secara terus meliputi kunjungan sendiri ke syarikat insurans, melalui Internet, penghantaran terus melalui pos dan melalui saluran telepemasaran.

Meskipun terdapat saluran penjualan langsung, ejen insurans terus menjadi perantara penting dalam sektor insurans am untuk menyediakan perkhidmatan peribadi bagi kemudahan pemilik polisi dan juga perkhidmatan tambah nilai seperti nasihat berhubung produk insurans dan bantuan dalam urusan pengendalian tuntutan. Pelanggan mempunyai pilihan untuk menggunakan khidmat ejen bagi memenuhi keperluan insurans mereka terutamanya bagi produk insurans yang kompleks dan canggih. Ini, bersama-sama dengan perkhidmatan tambah nilai yang lebih tinggi menyediakan peluang yang lebih besar bagi ejen untuk memperluas perkhidmatan mereka, termasuk khidmat nasihat kewangan kepada pelanggan. Peranan sebagai penasihat kewangan merupakan bidang berpotensi yang penting yang mempunyai prospek pertumbuhan yang sangat besar.

Bagi memudahkan ejen mencapai tahap yang lebih tinggi dalam rantaian nilai dan menceburi bidang baharu ini, Kerajaan dan industri insurans telah dan akan terus menyediakan peluang latihan dan bina upaya yang diperlukan. Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia dan sektor insurans termasuk mengadakan program latihan yang bersesuaian dan menghendaki perbelanjaan latihan agensi menjadi sebahagian daripada perbelanjaan latihan minimum yang diperlukan bagi syarikat insurans

Dengan berubahnya landskap sektor kewangan ekoran meningkatnya liberalisasi dan globalisasi, adalah penting bagi peserta industri kewangan memajukan lagi diri mereka agar terus kompetitif dalam persekitaran yang semakin mencabar ini.


Bank Negara Malaysia
19 Jun 2009

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?