Rejim apungan terurus terus menyokong pertumbuhan
Hari ini menandakan tahun keenam kadar pertukaran ringgit beralih kepada rejim apungan terurus. Dalam tempoh enam tahun ini, landskap kewangan dan ekonomi global telah mengalami beberapa perkembangan luar biasa – krisis kewangan dan ekonomi global yang paling teruk sejak Perang Dunia Kedua, serta turun naik yang ketara dalam aliran modal dua hala. Rejim kadar pertukaran telah memberikan lebih fleksibiliti kepada ekonomi untuk menangani cabaran tersebut. Berikutan ekonomi global yang semakin pulih, ringgit telah menambah nilai sejajar dengan asas-asas ekonomi Malaysia yang lebih kukuh. Pelarasan ringgit secara beransur-ansur dan teratur telah memudahkan ekonomi benar melalui perubahan yang sama.
Bank Pusat akan terus memberikan tumpuan untuk mengekalkan keadaan pasaran yang teratur supaya urus niaga kewangan antarabangsa dapat dijalankan dengan berkesan. Melangkah ke hadapan, rejim apungan terurus dan fleksibiliti yang diberikannya akan terus memudahkan transformasi ekonomi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.