Resolusi Syariah Dalam Kewangan Islam (Edisi Kedua)

Embargo: Untuk siaran segera
26 Okt 2010 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran buku Resolusi Syariah dalam Kewangan Islam (Edisi Kedua). Edisi kedua ini yang mengandungi semua keputusan Syariah yang dibuat antara tahun 1997 hingga 2009 merupakan kesinambungan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia sebelum ini bagi memperdalam pemahaman berhubung dengan tafsiran Syariah dan pertimbangan perundangan fiqah bagi keputusan-keputusan tersebut. Edisi Kedua ini bertujuan untuk meningkatkan tahap ketelusan berhubung dengan pertimbangan perundangan fiqah dalam kewangan Islam, yang seterusnya akan meningkatkan penghayatan dan penerimaan terhadap keputusan-keputusan Syariah tersebut. Ia juga akan menjadikan tadbir urus Syariah lebih cekap di peringkat institusi selain menjadi pemangkin pengharmonian tafsiran dan aplikasi Syariah merentas sempadan yang lebih luas.

Edisi kedua ini menggantikan Resolusi Syariah dalam Kewangan Islam (Edisi Pertama) yang diterbitkan pada tahun 2007 dan Ringkasan Keputusan Majlis Penasihat Syariah Kebangsaan untuk Perbankan Islam dan Takaful (Ringkasan Keputusan MPS) yang dikeluarkan pada tahun 2002. Sehubungan dengan itu, produk kewangan Islam baharu yang ingin ditawarkan oleh institusi kewangan atau sebarang produk sedia ada yang ingin ditawarkan kepada pelanggan baharu hendaklah mematuhi Resolusi Syariah dalam Kewangan Islam (Edisi Kedua). Walau bagaimanapun, bagi kontrak produk kewangan Islam sedia ada dalam pasaran yang telah dimeterai antara pelanggan dengan institusi kewangan berdasarkan keputusan Syariah yang terkandung dalam Edisi Pertama dan Ringkasan Keputusan MPS, kontrak berkenaan masih lagi terpakai sehingga tempoh matangnya.

Pautan berkaitan:
Sila muat turun buku Resolusi Syariah dalam Kewangan Islam (Edisi Kedua) di sini.


Bank Negara Malaysia
26 Oktober 2010

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?