Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia pada 31 Disember 2005
Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah RM266.4 bilion atau bersamaan USD70.5 bilion pada 31 Disember 2005. Paras rizab ini telah turut mengambil kira pengurangan nilai rizab hasil daripada pelarasan sukuan penilaian semula pertukaran asing berikutan pengukuhan ringgit berbanding dengan mata wang utama pada suku keempat. Paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.7 bulan import tertangguh dan ialah 6.3 kali hutang luar negeri jangka pendek.
Bagi tahun 2005 secara keseluruhan, rizab antarabangsa meningkat sebanyak RM12.8 bilion atau bersamaan USD3.8 bilion, mencerminkan asas-asas ekonomi dengan aliran masuk pertukaran asing dijana terutamanya daripada penghantaran balik perolehan eksport dan pelaburan langsung asing. Pada separuh pertama tahun 2005, penghantaran balik perolehan eksport dan pelaburan langsung asing yang kekal mantap telah diperkukuh oleh aliran masuk pelaburan portfolio yang besar. Aliran masuk dana jangka pendek yang besar sebahagiannya disebabkan oleh jangkaan mengenai pertukaran dalam rejim kadar pertukaran. Aliran keluar dana itu bermula pada bulan September dan berterusan hingga ke bulan Oktober dan November. Walau bagaimanapun, aliran keluar dana ini berkurang pada bulan Disember. Pada suku keempat, pembayaran balik pinjaman luar negeri oleh sektor awam adalah lebih besar dan penghantaran balik keuntungan dan dividen akhir tahun oleh syarikat asing juga lebih tinggi.
Pada tahun 2005, jumlah pengurangan nilai rizab hasil daripada pelarasan sukuan penilaian semula pertukaran asing berikutan pengukuhan ringgit berbanding dengan mata wang utama adalah sebanyak RM15.5 bilion.
Rizab antarabangsa Malaysia yang tidak berbeban serta boleh digunakan dijangka kekal kukuh pada tahun 2006, berdasarkan prospek yang positif bahawa imbangan luaran akan kekal kukuh.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.