Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia pada 31 Disember 2014
Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah RM405.5 bilion (bersamaan dengan USD116.0 bilion) pada 31 Disember 2014 berbanding dengan RM441.9 bilion (bersamaan dengan USD134.9 bilion) pada akhir tahun 2013. Paras rizab pada 31 Disember 2014 telah mengambil kira pelarasan suku tahunan nilai rizab disebabkan oleh perubahan pertukaran asing. Paras rizab ini memadai untuk membiayai 8.4 bulan import tertangguh dan ialah 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek[1].
Pada tahun 2014, rizab antarabangsa disokong oleh lebihan akaun semasa yang lebih besar dan aliran masuk pelaburan langsung asing. Penambahan nilai rizab antarabangsa juga disebabkan oleh penilaian semula pertukaran asing secara kumulatif yang belum direalisasikan. Aliran keluar yang mengimbangi penambahan nilai rizab ini adalah terutamanya dalam bentuk kebalikan pelaburan portfolio bukan pemastautin, pelaburan langsung luar negeri oleh syarikat-syarikat Malaysia, pemerolehan aset portfolio asing oleh pelabur-pelabur institusi pemastautin dan pembayaran bersih peminjaman luar pesisir oleh sektor awam.
Rizab antarabangsa Malaysia kekal boleh guna dan tiada halangan untuk menggunakannya. Paras rizab ini dijangka kekal lebih daripada mencukupi pada tahun 2015, disokong oleh aliran masuk dagangan dan pelaburan.
[1] Merujuk kepada hutang luar negeri jangka pendek yang didefinisikan semula, yang termasuk peminjaman luar pesisir jangka pendek, pemegangan sekuriti hutang jangka pendek dalam ringgit oleh bukan pemastautin, deposit bukan pemastautin dengan sistem perbankan dan hutang jangka pendek lain. Untuk maklumat lanjut, rujuk kepada rencana bertajuk ‘Definisi Semula Hutang Luar Negeri’ dalam Buletin Suku Tahunan Mengenai Perkembangan Ekonomi dan Kewangan Malaysia pada Suku Pertama 2014.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.