Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia pada 31 Disember 2015

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Khamis, 7 Januari 2016
07 Jan 2016 Siaran Akhbar

Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah RM409.1 bilion (bersamaan dengan USD95.3 bilion) pada 31 Disember 2015 berbanding dengan RM405.4 bilion (bersamaan dengan USD115.9 bilion) pada akhir tahun 2014. Paras rizab pada 31 Disember 2015 telah mengambil kira pelarasan nilai rizab disebabkan oleh perubahan pertukaran asing.
 
Paras rizab pada tahun 2015 terus disokong oleh lebihan akaun semasa dan aliran masuk pelaburan langsung asing dalam persekitaran kebalikan aliran modal. Aliran keluar ini mencerminkan kebalikan pelaburan portfolio pelabur bukan pemastautin disebabkan oleh sentimen buruk berikutan momentum pertumbuhan yang menjadi sederhana di beberapa negara maju dan sedang pesat membangun, ketidakpastian terhadap harga komoditi serta kemungkinan keadaan pasaran yang tidak teratur yang berpunca daripada pelarasan dasar di negara-negara maju. Pelaburan langsung luar negeri yang berterusan oleh syarikat-syarikat Malaysia dan pemerolehan aset portfolio asing oleh pelabur-pelabur institusi pemastautin pada tahun itu turut menyumbang kepada aliran keluar.
 
Paras rizab antarabangsa kekal lebih daripada mencukupi untuk memudahkan urus niaga antarabangsa. Pada 31 Disember 2015, paras ini memadai untuk membiayai 8.5 bulan import tertangguh, jauh lebih tinggi daripada paras ambang antarabangsa iaitu 3 bulan. Paras rizab ini juga mencukupi untuk memenuhi obligasi luaran dengan perlindungan rizab kepada hutang luar negeri jangka pendek[1] sebanyak 1.1 kali. Yang pentingnya bukan semua hutang luar negeri jangka pendek memerlukan tuntutan segera terhadap rizab berikutan terdapatnya aset luar negeri dan perolehan eksport peminjam.
 
Rizab antarabangsa Malaysia kekal boleh guna dan dijangka disokong oleh aliran masuk perdagangan dan pelaburan pada tahun 2016.

 
[1]Merujuk kepada hutang luar negeri jangka pendek yang didefinisikan semula, yang termasuk peminjaman luar pesisir jangka pendek, pemegangan sekuriti hutang jangka pendek dalam ringgit oleh bukan pemastautin, deposit bukan pemastautin dengan sistem perbankan dan hutang jangka pendek lain. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk rencana bertajuk ‘Definisi Semula Hutang Luar Negeri’ dalam Buletin Suku Tahunan Mengenai Perkembangan Ekonomi dan Kewangan Malaysia pada Suku Pertama 2014.

Bank Negara Malaysia
07 Januari 2016

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?