Rizab Antarabangsa BNM pada 14 Apr 2001
Separuh pertama bulan April merupakan tempoh ketidaktentuan dan ketidakstabilan keadaan pasaran, di luar serta di dalam negeri. Yen Jepun telah turun nilai dengan mendadak untuk mencapai tahap terendah sebanyak Y126 berbanding dolar Amerika Syarikat pada penghujung bulan Mac, iaitu kadar yang terendah dalam tempoh dua setengah tahun. Berikutan perkembangan ini, pasaran menjangkakan bahawa mata wang serantau akan terus menjadi lemah. Pasaran berpendapat bahawa kejatuhan seterusnya dalam nilai yen akan menyebabkan penurunan kompetitif dalam mata wang serantau. Perkembangan ini telah menimbulkan jangkaan bahawa nilai kadar pertukaran ringgit akan diturunkan. Perkembangan dalam pasaran ekuiti global juga adalah tidak memberangsangkan disebabkan oleh kebimbangan yang berterusan terhadap kelembapan ekonomi Amerika Syarikat. Hasil suku tahunan korporat Amerika Syarikat yang mendukacitakan telah menyebabkan pengurangan sebanyak 6.5% dalam indeks komposit Nasdaq dan 0.9% dalam indeks purata industri Dow Jones pada minggu pertama bulan April. Peristiwa-peristiwa tertentu ini memberi kesan negatif kepada sentimen pasaran. Dalam suasana ini, pengumuman oleh Standard and Poor’s pada 4 April 2001 bahawa prospek terhadap Malaysia telah di nilai semula daripada positif kepada stabil telah menyumbang kepada ketidaktentuan yang berlebihan dalam pasaran kewangan dalam negeri. Jangkaan negatif ini telah menyebabkan penurunan sebanyak 6% dalam indeks komposit BSKL pada 4 April dan penurunan sebanyak 4.2% lagi pada 9 April.
Perkembangan ini mempunyai kesan yang negatif terhadap sentimen pasaran. Reaksi yang keterlaluan oleh pasaran telah menyebabkan peningkatan kepada aliran keluar kasar pada separuh pertama bulan April, berbanding tren yang dilihat sebelum ini. Terutamanya, aliran keluar kasar mencerminkan pembelian hadapan untuk import barangan dan perkhidmatan serta pembayaran balik hutang. Aliran keluar bersih dana portfolio berjumlah sebanyak AS$176 juta dalam tempoh ini. Oleh yang demikian, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia telah berkurangan sebanyak RM3.4 bilion atau AS$0.9 bilion dalam tempoh ini kepada RM99.9 bilion atau AS$26.3 bilion pada 14 April 2001 (RM103.3 bilion atau AS$27.2 bilion pada akhir Mac 2001). Rizab kekal cukup untuk membiayai lebih kurang 4 bulan import tertangguh dan 5.7 kali hutang luar negeri jangka pendek. Rizab kekal boleh digunakan dengan serta merta.
Perkembangan yang positif pada minggu ketiga bulan April telah menyebabkan pemulihan dalam aliran rizab antarabangsa. Ketidaktentuan dalam pasaran mata wang telah berkurangan pada minggu ketiga bulan April. Kadar yen dalam pasaran pertukaran asing telah mengukuh sementara kebanyakan mata wang serantau telah menjadi stabil. Pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve Board Amerika Syarikat pada 18 April juga telah memulihkan keadaan pasaran kewangan. Keadaan ini juga disokong oleh pengurangan dalam perbezaan kadar faedah.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.