Rizab Antarabangsa BNM pada 15 April 2002
Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah sebanyak RM123.6 bilion atau AS$32.5 bilion pada 15 April 2002. Aliran masuk perolehan eksport yang dibawa pulang berkekalan pada separuh pertama bulan April. Pada masa yang sama, kemunculan penunjuk-penunjuk yang menggambarkan keadaan ekonomi yang semakin baik telah menyebabkan aliran masuk bersih dana portfolio yang berterusan dalam tempoh ini. Aliran masuk ini telah mengimbangi sebahagian daripada aliran keluar yang mencerminkan terutamanya pembayaran balik hutang luar negeri sektor swasta, yang berjumlah sebanyak AS$680 juta dalam tempoh ini. Sebahagian besar daripada pembayaran balik pinjaman ini adalah merupakan prabayaran kepada pinjaman-pinjaman luar negeri yang lebih mahal. Pembayaran balik berkenaan telah menghasilkan pengurangan yang nyata dalam hutang luar negeri sektor swasta. Pembayaran balik hutang yang selanjutnya adalah dijadualkan pada separuh kedua bulan April. Ianya akan mengurangkan lagi pendedahan sektor swasta kepada hutang luar negeri. Paras rizab pada 15 April 2002 adalah memadai untuk membiayai 5.5 bulan import tertangguh dan adalah 5.3 kali hutang luar negeri jangka pendek.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.