Rizab Antarabangsa BNM pada 15 Dis 2000
Rizab antarabangsa BNM berjumlah RM112.7 bilion (AS$29.7 bilion) pada 15 Disember 2000, berbanding dengan RM115.4 bilion (AS$30.4 bilion) pada akhir bulan November. Kedudukan rizab ini adalah cukup untuk membiayai 4.5 bulan import tertangguh dan adalah 6.3 kali hutang luar negeri jangka pendek. Berbanding pada akhir tahun 1999, rizab telah menurun sebanyak AS$1.2 bilion. Sejak bulan Ogos 1998, rizab telah meningkat sebanyak AS$9.4 bilion. Perubahan rizab dalam tempoh separuh pertama bulan Disember adalah disebabkan terutamanya oleh pembayaran hutang luar negara; pelaburan luar negara oleh syarikat-syarikat Malaysia, termasuk sebuah perusahaan awam bukan kewangan (NFPE); pengaliran keluar dana portfolio; dan penghantaran balik keuntungan dan dividen pada akhir tahun. Tahap rizab pada separuh kedua bulan Disember dijangka akan dipengaruhi oleh perkembangan yang sama.
Memandangkan pembayaran hutang luar negara yang besar pada tahun ini, pendedahan hutang luar negara Malaysia menjadi semakin baik daripada 58% daripada KNK pada akhir tahun 1999 kepada anggaran 52% pada akhir tahun 2000. Tambahan lagi, pelaburan luar negara yang lebih tinggi juga menyumbang kepada peningkatan aktiviti sektor korporat Malaysia di samping meningkatkan potensi eksport barangan dan perkhidmatan pada masa depan.
Melihat ke hadapan, perkembangan semasa dalam akaun perdagangan dan pengaliran masuk modal jangka panjang dijangka akan berterusan pada tahun 2001. Di samping perkembangan positif ini, keutuhan sistem perbankan telahpun dipulihkan dan ekonomi kekal teguh. Oleh itu, rizab Malaysia di mana sedia boleh diguna dijangka akan terus kukuh.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.