Rizab Antarabangsa BNM pada 30 Mar 2002

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1930 pada Isnin, 8 April 2002
08 Apr 2002 Siaran Akhbar

Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia meningkat sebanyak RM424 juta atau AS$112 juta pada separuh kedua bulan Mac kepada RM124.4 bilion atau AS$32.7 bilion pada 30 Mac 2002. Peningkatan ini mencerminkan aliran masuk perolehan eksport yang berterusan dan kemasukan bersih dana portfolio. Paras rizab pada penghujung bulan Mac telah mengambil kira pelarasan sukuan yang menghasilkan kerugian penilaian semula pertukaran asing yang belum direalisasi berjumlah sebanyak AS$159 juta, disebabkan terutamanya oleh penyusutan nilai yen dan euro berbanding dolar AS pada suku pertama 2002. Paras rizab ini adalah memadai untuk membiayai 5.5 bulan import tertangguh dan adalah 5.3 kali hutang luar negeri jangka pendek.

Dalam bulan April, Malaysia dijangka mengalami aliran keluar disebabkan oleh pembayaran balik beberapa hutang luar negeri sektor swasta dan komitmen pelaburan luar negeri yang telah dirancang. Pembayaran balik pinjaman luar negeri dan pembayaran berkaitan pelaburan luar negeri berkenaan oleh syarikat-syarikat Malaysia berjumlah masing-masing sebanyak AS$1.3 bilion dan AS$160 juta. Pembayaran balik pinjaman oleh sektor swasta mencerminkan sebahagian daripada penstrukturan semula korporat yang melibatkan prabayaran pinjaman hutang luar negeri yang lebih mahal dan pembayaran balik pinjaman penyambung bagi pembelian kepentingan mengawal daripada rakan-rakan niaga bukan pemastautin. Pembayaran balik berkenaan akan mengurangkan dengan nyata pendedahan sektor swasta kepada hutang luar negeri. Malaysia mampu untuk menampung aliran keluar ini memandangkan kedudukan rizab yang kukuh serta aliran masuk yang berterusan perolehan eksport, pelaburan langsung asing dan aliran masuk modal portfolio.

 

 


Bank Negara Malaysia
08 April 2002

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?