Rizab Antarabangsa BNM pada 31 Dis 2000
Rizab antarabangsa BNM meningkat sebanyak RM827.6 juta pada separuh kedua bulan Disember. Kenaikan ini meningkatkan paras rizab kepada RM113.5 bilion (AS$29.9 bilion) pada 31 Disember 2000, daripada RM112.7 bilion (AS$29.7 bilion) pada 15 Disember 2000. Kedudukan rizab ini adalah cukup untuk membiayai 4.5 bulan import tertangguh dan adalah 6.4 kali hutang luar negara jangka pendek.
Kenaikan rizab pada separuh kedua bulan Disember 2000 adalah disebabkan terutamanya oleh lebihan dagangan yang kukuh; pinjaman luar negara oleh sektor awam dan sektor swasta bukan bank; dan keuntungan daripada penilaian semula pertukaran asing yang telah mengimbangi pengaliran keluar yang berpunca daripada pelaburan luar negara oleh syarikat-syarikat Malaysia; pembayaran balik hutang luar negara oleh sektor swasta bukan bank; dan penghantaran balik keuntungan dan dividen akhir tahun.
Berbanding dengan paras pada akhir tahun 1999, rizab menurun sebanyak RM3.7 bilion (AS$974 juta). Pada tahun 2000, terdapat pengaliran masuk dan pengaliran keluar yang besar berpunca daripada faktor-faktor khusus. Pada empat bulan yang pertama, rizab meningkat sebanyak RM13.7 bilion (AS$3.6 bilion). Walau bagaimanapun, daripada Mei hingga Disember, pengaliran keluar bersih yang berjumlah sebanyak RM17.4 bilion (AS$4.6 bilion) telah dicatatkan. Pengaliran keluar tersebut mencerminkan gabungan beberapa faktor, termasuk pelaburan luar negara oleh syarikat-syarikat Malaysia; pembayaran balik hutang luar negara oleh sektor awam dan swasta; pengaliran keluar dana portfolio; kerugian penilaian semula pertukaran asing berikutan kenaikan nilai ringgit berbanding beberapa mata wang asing utama; dan penghantaran balik keuntungan dan dividen menjelang akhir tahun. Walau bagaimanapun, pengaliran keluar ini sebahagian besarnya telah diimbangi oleh lebihan dagangan dan pengaliran masuk modal jangka panjang.
Pada keseluruhannya, kedudukan rizab kekal kukuh, mencerminkan asas ekonomi yang kukuh. Pembayaran balik hutang telah mengukuhkan kedudukan luar negara Malaysia. Pelaburan luar negara yang lebih tinggi dan keputusan perniagaan yang strategik akan menyumbang kepada peningkatan aktiviti sektor korporat Malaysia di samping meningkatkan prospek eksport barangan dan perkhidmatan pada masa depan. Tambahan lagi, masih terdapat lebihan mudah tunai dalam negara yang mencukupi untuk membiayai pelaburan di Malaysia.
Melihat ke hadapan, lebihan dagangan yang kukuh dan pengaliran masuk modal jangka panjang dijangka akan berterusan pada tahun 2001. Oleh itu, rizab Malaysia, di mana sedia boleh diguna dijangka akan terus kukuh. Semenjak Ogos 1998, rizab telah meningkat sebanyak AS$9.7 bilion.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.