Rizab Antarabangsa BNM pada 31 Dis 2001
Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia meningkat sebanyak RM538 juta atau AS$142 juta pada separuh kedua bulan Disember kepada RM117.2 bilion atau AS$30.8 bilion pada 31 Disember 2001. Aliran masuk yang berterusan daripada perdagangan dan modal jangka panjang adalah lebih daripada memadai untuk membiayai pergerakan dana berkaitan penghantaran pulang keuntungan dan dividen pada penghujung tahun dan pelarasan dana portfolio. Kedudukan rizab pada penghujung bulan Disember 2001 telah mengambil kira pelarasan sukuan yang menghasilkan kerugian penilaian semula matawang asing yang belum direalisasi sebanyak AS$612 juta disebabkan terutamanya oleh penyusutan nilai yen dan Euro berbanding dolar AS pada suku keempat. Paras rizab ini adalah memadai untuk membiayai 5.1 bulan import tertangguh dan adalah 6 kali hutang luar negeri jangka pendek.
Berbanding dengan paras pada penghujung tahun 2000, rizab meningkat sebanyak RM3.7 bilion atau AS$963 juta. Rizab telah meningkat sejak akhir bulan Jun, mengatasi kemerosotan yang dialami pada awal tahun 2001. Sejak akhir bulan Jun, rizab antarabangsa telah meningkat sebanyak RM18.4 bilion atau AS$4.8 bilion. Dengan perbezaan kadar faedah memihak kepada Malaysia pada separuh kedua tahun 2001, ianya telah menggalakkan pembawaan pulang perolehan eksport dengan lebih awal daripada luar negeri. Aliran masuk pelaburan langsung asing kekal ketara dalam tempoh berkenaan, mencerminkan aliran masuk daripada rakan niaga yang strategik. Meskipun modal portfolio mencatatkan aliran masuk yang kukuh sejak bulan Julai, tren ini berubah haluan pada separuh kedua bulan September berikutan ketidaktentuan yang berkaitan dengan perkembangan peristiwa 11 September di Amerika Syarikat. Pengambilan daripada hutang luar negeri juga merupakan faktor yang mengimbangi pembayaran balik hutang dalam tempoh berkenaan.
Penilaian semula sukuan ke atas rizab menghasilkan keuntungan penilaian semula yang belum direalisasi pada suku ketiga yang mengimbangi sebahagian daripada kerugian penilaian semula yang belum direalisasi yang dialami pada separuh tahun pertama. Dengan mengambil kira kerugian penilaian semula pada suku keempat, kerugian penilaian semula bersih berjumlah sebanyak RM4.1 bilion atau AS$1.1 bilion bagi tahun 2001.
Memandang ke hadapan, lebihan perdagangan yang memberangsangkan dan aliran masuk modal jangka panjang adalah dijangka berterusan ke tahun 2002. Rizab Malaysia yang kekal boleh digunakan dengan serta merta dijangka akan terus kukuh bagi keseluruhan tahun.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.