Rizab Antarabangsa BNM pada 31 Disember 2002
Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia meningkat sebanyak RM1.5 bilion atau AS$0.4 bilion pada separuh kedua bulan Disember kepada RM131.5 bilion atau AS$34.6 bilion pada 31 Disember 2002. Peningkatan rizab mencerminkan aliran masuk perolehan eksport barangan dan perkhidmatan yang dibawa pulang dan keuntungan penilaian semula yang nyata yang dicatatkan pada akhir bulan Disember 2002. Seperti di tahun-tahun lepas, penghantaran pulang keuntungan dan dividen pada akhir tahun dan pembayaran balik hutang luar negeri merangkumi sebahagian besar daripada aliran keluar. Terdapat juga pembayaran terhadap import barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi, pelaburan luar negeri oleh sektor swasta dan aliran keluar dana portfolio. Paras rizab adalah memadai untuk membiayai 5.4 bulan import tertangguh dan adalah 4.5 kali hutang luar negeri jangka pendek.
Berbanding dengan paras pada penghujung tahun 2001, rizab antarabangsa meningkat sebanyak RM14.3 bilion atau AS$3.8 bilion. Peningkatan rizab mencerminkan asas ekonomi keseluruhan yang kukuh dengan aliran masuk pertukaran asing berpunca terutamanya daripada perolehan eksport yang dibawa pulang dan pelaburan langsung asing. Terdapat juga pengambilan perolehan daripada pinjaman luar negeri oleh Kerajaan Persekutuan dan pembayaran balik hutang luar negeri.
Aliran keluar pada tahun 2002 mencerminkan terutamanya pembayaran terhadap import barangan dan perkhidmatan yang berkaitan dengan pengembangan aktiviti ekonomi dan pelaburan luar negeri oleh sektor swasta. Pembayaran balik pinjaman yang besar sebahagiannya menceminkan prabayaran oleh sektor swasta ke atas pinjaman yang lebih mahal dan sebahagian lagi merupakan pembayaran balik hutang berikutan aktiviti penstrukturan semula hutang korporat. Sementara terdapat aliran masuk bersih dana portfolio pada awal tahun, aliran keluar telah dicatatkan pada separuh kedua tahun berikutan kelembapan umum pasaran-pasaran saham serantau dan sedunia tatkala bertambahnya ketidaktentuan dalam ekonomi global.
Keuntungan penilaian semula yang belum direalisasi daripada penilaian semula rizab sukuan pada suku kedua dan keempat adalah lebih daripada mengimbangi kerugian penilaian semula yang dialami pada suku pertama dan ketiga. Keuntungan penilaian semula pada suku keempat berjumlah AS$645 juta disebabkan oleh peningkatan nilai yen dan Euro berbanding dolar AS pada suku tersebut. Bagi keseluruhan tahun 2002, keuntungan penilaian semula bersih berjumlah sebanyak RM6.6 bilion atau AS$1.7 bilion berbanding dengan kerugian penilaian semula sebanyak RM4.1 bilion atau AS$1.1 bilion pada tahun 2001.
Rizab Malaysia dijangka akan terus kukuh pada tahun 2003 berdasarkan jangkaan lebihan perdagangan yang memberangsangkan dan aliran masuk modal jangka panjang yang berterusan, khususnya pelaburan langsung asing.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.