Rizab Antarabangsa BNM pada 31 Disember 2003

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1700 pada Khamis, 8 Januari 2004
08 Jan 2004 Siaran Akhbar

Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia meningkat sebanyak RM3.9 bilion atau AS$1.0 bilion pada separuh bulan kedua Disember kepada RM170.6 bilion atau AS$44.9 bilion pada 31 Disember 2003. Aliran masuk mencerminkan terutamanya pembawaan perolehan eksport yang terus berkekalan dan pelaburan langsung asing, manakala aliran keluar disebabkan terutamanya pembayaran terhadap import barangan dan perkhidmatan, penghantaran pulang hasil keuntungan dan dividen pada akhir tahun serta pembayaran balik hutang luar negara oleh sektor awam. Paras rizab pada akhir bulan Disember 2003 telah mengambil kira pelarasan sukuan yang menghasilkan keuntungan penilaian semula pertukaran asing yang belum direalisasi berjumlah sebanyak AS$1.8 bilion, disebabkan terutamanya oleh peningkatan nilai matawang utama berbanding dolar AS pada suku keempat. Paras rizab adalah memadai untuk membiayai 7.1 bulan import tertangguh dan adalah 4.8 kali hutang luar negara jangka pendek.

Berbanding penghujung tahun 2002, rizab antarabangsa telah meningkat dengan ketaranya sebanyak RM39.2 bilion atau AS$10.3 bilion, selaras dengan aktiviti ekonomi yang lebih kukuh dan prestasi ekport yang bertambah baik. Aliran masuk daripada pembawaan pulang perolehan ekport adalah ketara dan aliran masuk pelaburan langsung asing dan dana portfolio telah dikekalkan, dengan sentimen pelabur bertambah baik sepanjang tahun 2003. Peningkatan dalam rizab berlaku sambil terdapatnya juga aliran keluar yang lebih besar pada tahun 2003. Pembayaran terhadap import barangan dan perkhidmatan yang lebih besar dan penghantaran pulang hasil keuntungan dan dividen mencerminkan pencapaian ekonomi yang lebih kukuh. Pembayaran balik hutang luar negara oleh sektor awam dan swasta juga adalah ketara pada tahun 2003. Pelaburan luar negara oleh syarikat-syarikat Malaysia juga adalah lebih tinggi, terutamanya dalam sektor minyak dan gas.

Keuntungan penilaian semula yang belum direalisasi daripada penilaian semula rizab adalah sebanyak RM11.9 bilion atau AS$3.1 bilion pada tahun 2003, berbanding keuntungan penilaian semula sebanyak RM6.6 bilion atau AS$1.7 bilion pada tahun 2002. Keuntungan penilaian semula adalah hasil terutamanya daripada peningkatan nilai matawang utama berbanding dolar AS pada tahun 2003.

Rizab Malaysia, yang tidak berbeban serta boleh digunakan, dijangka akan kekal tinggi untuk tahun 2004, berdasarkan prospek yang positif untuk lebihan perdagangan yang memberangsangkan dan aliran masuk pelaburan langsung asing.

 


Bank Negara Malaysia
08 Januari 2004

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?