Rizab antarabangsa BNM pada 31 Disember 2004

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1700 pada Jumaat, 7 Januari 2005
07 Jan 2005 Siaran Akhbar

Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia terus meningkat pada separuh kedua bulan Disember kepada paras tertinggi dalam rekod iaitu RM253.5 bilion (AS$66.7 bilion) pada 31 Disember 2004. Peningkatan sebanyak RM11.7 bilion (AS$3.1 bilion) semasa tempoh tersebut telah disebabkan terutamanya oleh pembawaan pulang perolehan eksport yang berkekalan , pengambilan pinjaman luar negeri oleh sektor swasta dan aliran masuk dana portfolio yang sederhana. Aliran keluar mencerminkan terutamanya pembayaran import barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi dan penghantaran balik keuntungan dan dividen akhir tahun. Paras rizab turut mengambil kira keuntungan daripada pelarasan sukuan penilaian semula pertukaran asing sebanyak AS$2.6 bilion. Paras rizab ini adalah memadai untuk membiayai 8.2 bulan import tertangguh dan adalah 6.1 kali hutang luar negeri jangka pendek.

Sepanjang tahun 2004, rizab antarabangsa meningkat dengan ketaranya sebanyak RM83 bilion (US$21.9 bilion), mencerminkan pencapaian eksport yang lebih kukuh serta aliran masuk pelaburan langsung asing dan aliran portfolio yang lebih besar selaras dengan keyakinan pelabur yang bertambah baik. Paling ketara, peningkatan rizab berlaku sambil terdapatnya juga aliran keluar yang lebih besar semasa tahun tersebut. Pembayaran import barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi , serta penghantaran balik keuntungan dan dividen yang lebih tinggi mencerminkan pertumbuhan kukuh aktiviti ekonomi tempatan. Pelaburan luar negeri oleh syarikat-syarikat Malaysia juga adalah lebih tinggi, mencerminkan minat syarikat-syarikat tempatan yang meningkat untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan aktiviti utamanya di Malaysia.

Komposisi rizab yang dipelbagaikan telah menghasilkan keuntungan bersih daripada penilaian semula pertukaran asing berjumlah AS$2.1 bilion, disebabkan terutamanya oleh penurunan nilai dolar AS berbanding mata wang utama semasa tahun 2004.

Rizab antarabangsa Malaysia, yang tidak berbeban serta boleh digunakan, dijangka akan terus kekal kukuh pada tahun 2005, berdasarkan prospek yang memberangsangkan untuk lebihan perdagangan dan aliran masuk modal jangka panjang untuk pelaburan yang kekal kukuh.


Bank Negara Malaysia
07 Januari 2005

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?