Rizab Antarabangsa BNM pada 31 Disember 2006

05 Jan 2007 Siaran Akhbar

Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah RM290.4 bilion atau bersamaan USD82.5 bilion pada 31 Disember 2006. Paras rizab pada 31 Disember 2006 telah mengambil kira pengurangan nilai rizab disebabkan pelarasan suku tahunan penilaian semula pertukaran asing berikutan pengukuhan ringgit berbanding dengan mata wang utama pada suku keempat. Paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.9 bulan import tertangguh dan ialah 5.9 kali hutang luar negeri jangka pendek.

Sepanjang tahun 2006, rizab antarabangsa meningkat sebanyak RM25.2 bilion. Peningkatan rizab berlaku dalam suasana aliran dua hala yang ketara pada tahun 2006, mencerminkan peningkatan aktiviti ekonomi dan prestasi ekonomi yang kukuh. Aliran masuk pertukaran asing dijana terutamanya daripada aliran masuk perolehan eksport yang lebih besar, aliran masuk pelaburan langsung asing yang berterusan dan aliran masuk dana portfolio. Sementara itu, aliran keluar pula mencerminkan terutamanya pembayaran import barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi, pembayaran balik dan prabayaran hutang luar negeri, serta penghantaran balik keuntungan dan dividen yang terakru oleh syarikat-syarikat asing yang beroperasi di Malaysia. Pelaburan luar negeri oleh syarikat-syarikat Malaysia terus meningkat, mencerminkan minat berterusan oleh syarikat-syarikat ini untuk mengembangkan operasi mereka ke luar negeri.

Sepanjang tahun 2006, jumlah pengurangan nilai rizab hasil daripada pelarasan suku tahunan penilaian semula pertukaran asing adalah sebanyak RM6.9 bilion, berikutan pengukuhan ringgit berbanding dengan mata wang utama, terutamanya pada suku pertama dan keempat.

Rizab antarabangsa Malaysia yang kekal boleh guna dan tiada halangan untuk menggunakannya dijangka kekal kukuh pada tahun 2007, berdasarkan prospek lebihan dagangan dan aliran masuk modal jangka panjang untuk pelaburan yang memberangsangkan.


Bank Negara Malaysia
05 Januari 2007

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?