Rizab Antarabangsa BNM pada 31 Disember 2008
Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah RM316.8 bilion (bersamaan USD91.4 bilion) pada 31 Disember 2008. Paras rizab pada 31 Disember 2008 ini telah mengambil kira pengurangan nilai rizab disebabkan oleh pelarasan suku tahunan penilaian semula pertukaran asing berikutan pengukuhan ringgit berbanding dengan beberapa mata wang utama pada suku keempat. Paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.4 bulan import tertangguh dan ialah 3.3 kali hutang luar negeri jangka pendek.
Bagi keseluruhan tahun 2008, rizab antarabangsa menjadi lebih sederhana sebanyak RM18.9 bilion. Pada enam bulan pertama tahun 2008, rizab meningkat sebanyak RM75.2 bilion kepada RM410.9 bilion pada akhir bulan Jun, disebabkan terutamanya oleh penghantaran balik perolehan eksport yang lebih tinggi, aliran masuk modal portfolio jangka pendek yang besar dan pelaburan langsung asing. Namun, pada separuh tahun kedua, paras rizab menyusut RM94 bilion disebabkan terutamanya oleh aliran keluar modal portfolio jangka pendek akibat proses pembayaran balik hutang (de-leveraging process) oleh para pelabur asing berikutan krisis kewangan global. Walau bagaimanapun, aliran keluar modal jangka pendek yang mencapai paras tertinggi pada bulan Oktober telah menunjukkan tanda-tanda pengurangan.
Pada tahun 2008, jumlah pengurangan nilai rizab disebabkan oleh pelarasan suku tahunan penilaian semula pertukaran asing adalah sebanyak RM5.8 bilion, berikutan pengukuhan ringgit berbanding dengan mata wang utama khususnya pada suku pertama dan keempat 2008.
Rizab antarabangsa Malaysia yang tetap boleh guna dan tiada halangan untuk menggunakannya, dijangka terus berada pada paras yang menggalakkan pada tahun 2009. Paras rizab ini dijangka disokong oleh lebihan dagangan yang berterusan hasil daripada pasaran dan produk eksport Malaysia yang pelbagai dan aliran masuk pelaburan langsung asing.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.