Rizab Antarabangsa BNM pada 31 Disember 2010

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1800 pada Jumaat, 7 Januari 2011
07 Jan 2011 Siaran Akhbar

Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah RM328.6 bilion (bersamaan dengan USD106.5 bilion) pada 31 Disember 2010. Paras rizab pada 31 Disember 2010 telah mengambil kira peningkatan nilai rizab disebabkan oleh pelarasan suku tahunan penilaian semula pertukaran asing berikutan pengukuhan kebanyakan mata wang utama berbanding ringgit pada suku keempat. Paras rizab ini memadai untuk membiayai 8.5 bulan import tertangguh dan adalah 4.1 kali hutang luar negeri jangka pendek.   

Bagi keseluruhan tahun 2010, rizab antarabangsa menurun sedikit, iaitu sebanyak RM2.7 bilion kepada RM328.6 bilion (akhir tahun 2009: RM331.3 bilion). Pada tahun 2010, akaun semasa kekal mencatat lebihan dan terdapat aliran masuk pelaburan langsung asing dan dana portfolio. Walau bagaimanapun, aliran masuk ini telah diimbangi sebahagiannnya oleh pelaburan langsung luar negeri dan aliran keluar bersih sektor swasta. Di samping itu, terdapat juga pengurangan nilai rizab disebabkan oleh penilaian semula pertukaran asing kumulatif yang belum direalisasikan berikutan pengukuhan ringgit berbanding dengan kebanyakan mata wang utama  sepanjang tahun tersebut.

Rizab antarabangsa Malaysia yang kekal boleh guna dan tiada halangan untuk menggunakannya dijangka terus berada pada paras yang selesa pada tahun 2011. Paras rizab ini akan disokong oleh lebihan dagangan yang berterusan serta aliran masuk pelaburan langsung asing.


Bank Negara Malaysia
07 Januari 2011

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?