Rizab Antarabangsa BNM pada 31 Disember 2013

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1830 pada Rabu, 8 Januari 2014
08 Jan 2014 Siaran Akhbar

Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah RM441.7 bilion (bersamaan dengan USD134.9 bilion) pada 31 Disember 2013. Paras rizab pada 31 Disember 2013 telah mengambil kira pelarasan suku tahunan nilai rizab disebabkan oleh perubahan pertukaran asing. Paras rizab ini memadai untuk membiayai 9.6 bulan import tertangguh dan ialah 3.7 kali hutang luar negeri jangka pendek.   
 
Bagi keseluruhan tahun 2013, rizab antarabangsa meningkat sebanyak RM14.5 bilion kepada RM441.7 bilion (akhir tahun 2012: RM427.2 bilion). Kedudukan rizab yang lebih tinggi mencerminkan lebihan akaun semasa yang berterusan dan kemasukan pelaburan langsung asing, dana portfolio bukan pemastautin dan dana perbankan. Penambahan nilai rizab antarabangsa juga disebabkan oleh penilaian semula pertukaran asing kumulatif yang belum direalisasikan. Walau bagaimanapun, penambahan rizab ini diimbangi oleh aliran keluar dalam bentuk pelaburan langsung luar negeri oleh syarikat-syarikat Malaysia dan pemerolehan aset portfolio asing oleh pelabur-pelabur institusi pemastautin.
 
Rizab antarabangsa Malaysia yang kekal boleh guna dan tiada halangan untuk menggunakannya dijangka kekal pada paras yang selesa pada tahun 2014. Paras rizab ini akan disokong oleh aliran masuk dagangan dan pelaburan.


Bank Negara Malaysia
08 Januari 2014

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?