Rizab Antarabangsa BNM pada 31 Mac 2005
Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah sebanyak RM275.2 bilion (AS$72.4 bilion) pada 31 Mac 2005. Aliran masuk pada separuh kedua bulan Mac mencerminkan pembawaan pulang perolehan eksport yang berterusan, aliran masuk pelaburan langsung asing dan pelaburan portfolio. Aliran keluar pula disebabkan terutamanya oleh pembayaran terhadap import barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi, pembayaran balik hutang luar negeri oleh sektor swasta serta pembayaran dividen yang lebih tinggi. Berikutan keuntungan yang ketara daripada penilaian semula pertukaran asing sebanyak AS$2.6 bilion pada suku keempat tahun 2004 yang disebabkan oleh penurunan nilai dolar AS berbanding mata wang utama yang lain, kerugian penilaian semula sebanyak AS$1.2 billion telah direkodkan pada suku pertama tahun 2005. Ini mencerminkan pengukuhan nilai dolar AS berbanding mata wang utama yang lain pada tempoh tersebut. Paras rizab ini adalah memadai untuk membiayai 8.6 bulan import tertangguh dan adalah 6.2 kali hutang luar negeri jangka pendek.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.