Rumusan Mesyuarat Keempat Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan
Pendekatan Komprehensif Untuk Mempertingkat Potensi PKS
Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan mengadakan mesyuarat keempatnya hari ini untuk membincangkan program Kerajaan untuk pembangunan PKS bagi meningkatkan penglibatan dan sumbangan mereka kepada ekonomi.
Majlis ini yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri dan terdiri daripada Menteri dan Ketua Jabatan 18 buah Kementerian dan Agensi utama yang terlibat dalam pembangunan PKS, merupakan badan penggubal dasar tertinggi bagi menentukan hala tuju dan strategi bagi pembangunan PKS.
Rangka Tindakan Pembangunan PKS Kebangsaan 2006
Majlis ini telah meluluskan Rangka Tindakan Pembangunan PKS Kebangsaan 2006, yang termasuk sebanyak 245 program yang akan dilaksanakan pada tahun 2006 bagi mempercepat pembangunan PKS. Program-program itu bertujuan untuk memperkukuh infrastruktur yang sesuai bagi menyokong pembangunan PKS; mempertingkat kapasiti dan keupayaan PKS dan meningkatkan lagi akses kepada pembiayaan bagi PKS bagi meningkatkan potensi PKS untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Sebanyak RM3.79 bilion telah diperuntukkan oleh Kerajaan bagi pelaksanaan program-program itu. Program-program PKS ini akan meliputi kesemua sektor, termasuk PKS dalam sektor pertanian dan industri asas tani serta PKS yang terlibat dalam industri berasaskan pengetahuan. Usaha juga akan ditumpukan untuk membangunkan usahawan dan PKS Bumiputera yang progresif dan berdaya tahan.
Dalam memperkukuh kapasiti dan keupayaan PKS, sebanyak 170 program pembinaan kapasiti yang utama akan dilaksanakan, terutamanya dalam bidang pembangunan keusahawanan; latihan dan pembangunan sumber manusia; dan pemasaran dan promosi. Selain itu, program-program untuk membantu PKS menggunakan teknologi yang lebih tinggi dan menambah baik produk di samping menyediakan khidmat nasihat kepada PKS akan juga dijalankan.
Program untuk menyemai sifat keusahawanan di sekolah dan institusi pendidikan tinggi akan dijalankan, manakala satu Sistem Akreditasi Latihan PKS serta modul latihan dalam kewangan dan pengurusan perniagaan bagi PKS akan diwujudkan.
Majlis ini bersetuju bahawa adalah penting untuk memastikan pelaksanaan yang efektif terutamanya dalam program untuk membantu PKS memasarkan dan mempromosikan produk keluaran mereka. Program tersebut termasuk inisiatif untuk membantu PKS meluaskan rangkaian pasaran mereka melalui program pengembangan pasaran dan pembentukan hubungan dengan syarikat besar, syarikat berkaitan dengan kerajaan dan pasar raya besar. Program bagi meningkatkan infrastruktur untuk menyokong pembangunan PKS termasuk insentif untuk menggalakkan PKS menaik taraf premis perniagaan mereka serta penubuhan Pusat Pengantaraan Francais dan pusat inkubator.
Sebagai menyediakan akses kepada pembiayaan yang lebih banyak bagi PKS, sebanyak 34 program utama akan dilaksanakan pada tahun 2006. Program-program ini termasuk penubuhan dana modal teroka bernilai RM300 juta untuk pertanian, peruntukan tambahan RM300 juta untuk Tabung untuk Makanan, pembiayaan modal benih (pre-seed funding) untuk sektor teknologi maklumat dan komunikasi dan bagi transformasi Credit Guarantee Corporation.
Profil dan Sumbangan PKS kepada Ekonomi Dalam Negeri
Majlis ini membincangkan penilaian awal daripada Banci Pertubuhan dan Syarikat Perusahaan 2005 bagi sektor pertanian, perkilangan (termasuk yang berasaskan pertanian) dan perkhidmatan. Keputusan ini berdasarkan respons daripada 349,617 syarikat dan perusahaan perniagaan terhadap Banci yang dilancarkan pada bulan Mac 2005.
Dalam ketiga-tiga sektor ekonomi ini, PKS mencakupi 99% daripada jumlah pertubuhan perniagaan dan menyumbang 38% daripada jumlah keluaran pertubuhan ini. Dari segi guna tenaga, PKS mencakupi 55% daripada jumlah tenaga kerja pertubuhan perniagaan dalam sektor pertanian, perkilangan dan perkhidmatan. Banci itu juga menunjukkan bahawa kebanyakan PKS adalah masih kecil, dengan 81% ialah perusahaan mikro yang beroperasi kurang daripada 5 pekerja sepenuh masa. Dapatan itu memperkukuh keperluan bagi usaha agresif secara strategik dan teratur diambil untuk menyokong pengembangan PKS dan memperkukuh kapasiti dan daya saing mereka memandangkan mereka mempunyai potensi yang besar untuk menyumbang kepada ekonomi negara.
Dapatan banci itu juga akan digunakan sebagai input dalam perumusan dasar PKS dalam Rancangan Malaysia Ke-9 dan Pelan Induk Perindustrian Ke-3, serta untuk menetapkan sasaran pembangunan PKS oleh Majlis ini. Analisis terperinci tentang profil dan prestasi PKS akan disediakan dalam edisi pertama Laporan Tahunan Pembangunan PKS 2005, yang dijadualkan untuk siaran pada bulan Jun 2006.
Portal infoPKS: Maklumat dalam talian berpusat mengenai PKS dan Direktori PKS
Portal infoPKS akan dilancarkan pada bulan Januari 2006. Portal itu akan menjadi satu pusat sehenti gerbang maklumat dalam talian yang menyediakan maklumat yang komprehensif tentang pembiayaan, latihan serta program sokongan Kerajaan dan program pembangunan untuk usahawan dan PKS. Portal infoPKS juga mengandungi Direktori PKS secara percuma untuk mempromosikan peluang perniagaan dan rangkaian di kalangan PKS. Direktori itu akan menyediakan peluang kepada PKS untuk menyiarkan maklumat tentang syarikat dan produk mereka. Semua PKS digalakkan mendaftar butiran mereka dalam Portal infoPKS di www.smeinfo.com.my supaya maklumat dan peluang rangkaian yang tersedia dapat dimanfaatkan.
Laporan Tahunan Pembangunan PKS 2005
Majlis telah meluluskan penerbitan tahunan laporan mengenai pembangunan PKS. Laporan Tahunan Pembangunan PKS 2005 dijadualkan untuk siaran pada mesyuarat Majlis yang akan datang pada bulan Jun 2006. Laporan itu akan menyediakan penilaian yang komprehensif mengenai prestasi PKS dalam semua sektor, serta butiran program Kerajaan untuk PKS.
Mempromosikan Produk Malaysia melalui Jerayawara “Cita Rasa Malaysia”
Majlis dimaklumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengenai jerayawara “Cita Rasa Malaysia” yang dianjurkan untuk mempromosikan produk PKS tempatan di Hong Kong (2 – 11 September 2005) dan Singapura (4 – 18 Disember 2005). Kementerian telah menandatangani satu memorandum persefahaman dengan Giant Dairy Farm untuk terus membantu PKS tempatan menembusi pasaran runcit di Hong Kong, dan 52 produk yang dikeluarkan oleh 25 PKS tempatan telah diterima untuk dipamerkan di Wellcome Supermarket di Hong Kong. Kementerian terus mempromosikan produk PKS tempatan di pasaran dalam dan luar negeri melalui pelbagai rangkaian pasar raya besar, dan akan mencari peluang untuk memasarkan produk tempatan melalui pasar besar lain.
Kemajuan Bank PKS dalam Memberikan Sokongan terhadap Pembangunan PKS
Majlis juga diberikan taklimat tentang kemajuan Bank PKS dalam memberikan sokongan terhadap pembangunan PKS. Selain produk kewangan yang sedia ada untuk PKS dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan, sejumlah perkhidmatan kewangan dan sampingan baru telah dibangunkan dan ditawarkan untuk memenuhi keperluan PKS dalam sektor pertumbuhan baru, termasuk perkhidmatan profesional, aktiviti berorientasikan eksport, perniagaan permulaan (start-ups) dan perniagaan francais.
Sekretariat kepada Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan
Bank Negara Malaysia
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.