Rumusan Mesyuarat Ketiga Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan
STRATEGI YANG BERKESAN BAGI PEMBANGUNAN PKS
Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan mengadakan mesyuarat ketiganya hari ini untuk membincangkan isu berkaitan pembangunan PKS di Malaysia. Dengan dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Majlis yang terdiri daripada 18 orang Menteri dan ketua Kementerian dan Agensi utama yang terlibat dalam pembangunan PKS, merupakan badan pembuat dasar tertinggi bagi menentukan hala tuju dan strategi pembangunan PKS.
Produk Pembiayaan Perdagangan Baru bagi PKS
Sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan oleh PKS, Majlis bersetuju dengan pengenalan Kemudahan Pembiayaan Perdagangan Pelbagai Mata Wang dan Skim Pembiayaan Eksport Secara Tidak Langsung, yang akan ditawarkan di bawah pembiayaan konvensional dan pembiayaan secara Islam. Produk-produk ini akan dilancarkan pada suku ketiga tahun 2005, bertujuan untuk menggalakkan PKS untuk mengeksport barangan dan perkhidmatan mereka ke pasaran bukan tradisional, khususnya ke negara-negara anggota OIC. Melalui produk-produk pembiayaan tersebut, PKS boleh mendapat pembiayaan pra- dan pasca penghantaran pada kos pembiayaan yang menarik tanpa perlu menyediakan cagaran pinjaman, manakala risiko kredit akan ditanggung bersama oleh institusi perbankan dan Malaysian Export Credit Insurance Berhad.
Portal Latihan Dalam Talian bagi PKS
Majlis meluluskan Portal Pembangunan Sumber Manusia (Portal PSM), iaitu satu portal latihan yang berasaskan web yang dibangunkan oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad untuk membolehkan majikan dan penyedia latihan untuk berinteraksi secara dalam talian (online) sebagai satu komuniti latihan. Portal PSM (www.hrdportal.com.my) akan membantu majikan untuk mencari, mengenal pasti dan membuat pendaftaran untuk program latihan secara dalam talian, dan pada masa yang sama, membenarkan penyedia latihan untuk menawarkan program latihan dan aktiviti secara dalam talian. Dengan menyediakan akses kepada satu sumber maklumat latihan berpusat, Portal PSM akan memudahkan dan menggalakkan majikan, terutamanya PKS, untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran pekerja mereka bagi mempertingkatkan lagi produktiviti dan daya saing.
Rangka Kerja Perancangan PKS
Majlis telah meluluskan penggunaan rangka kerja penggubalan dasar dan penilaian yang baru untuk meningkatkan keberkesanan semua program Kerajaan bagi menyokong PKS. Rangka kerja tersebut merangkumi pengenalpastian keutamaan yang strategik secara meluas dan sasaran pembangunan untuk PKS, di samping pembentukan penunjuk prestasi yang komprehensif bagi menilai keberkesanan program pembangunan PKS oleh semua Kementerian dan Agensi yang terlibat dalam pembangunan PKS. Ini bertujuan untuk menyediakan satu rangka tindakan kebangsaan bagi pembangunan PKS yang berdaya saing dan berdaya tahan.
Akses kepada Pembiayaan oleh PKS
Majlis juga menyemak kemajuan dalam akses kepada pembiayaan oleh PKS dan mengambil maklum bahawa pinjaman bank kepada PKS terus meningkat dengan kukuh sebanyak 10.4% kepada RM89.3 bilion pada akhir bulan April 2005. Pada empat bulan pertama tahun 2005, institusi perbankan meluluskan RM11.1 bilion pinjaman kepada kira-kira 27,000 akaun PKS (2004: RM31.6 bilion kepada 92,000 akaun PKS). Ini dilengkapi pula oleh pembiayaan yang diberikan oleh institusi kewangan pembangunan, dengan pinjaman mereka kepada PKS meningkat 7.7% kepada RM3.9 bilion pada akhir tahun 2004. Selain itu, terdapat 72 buah dana yang disediakan oleh Kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM10.3 bilion kepada PKS, manakala Bank Negara Malaysia pula menyediakan lima tabung dan skim khas kepada PKS dengan jumlah peruntukan sebanyak RM8.9 bilion.
Penggunaan Definisi PKS di Pelbagai Sektor yang Disasar untuk Dibangunkan
Majlis telah dimaklumkan bahawa Definisi PKS Kebangsaan bagi sektor perkilangan, perkhidmatan berasaskan perkilangan, pertanian asas dan perkhidmatan telah dimuktamadkan. Definisi baru ini akan diguna pakai oleh semua Kementerian, Agensi dan institusi kewangan yang terlibat dalam pembangunan PKS. Ini akan memudahkan pengenalpastian PKS di pelbagai sektor dan subsektor, dan seterusnya akan membolehkan PKS disasarkan dengan lebih efektif dari segi penggubalan dasar pembangunan, program sokongan dan pemberian bantuan teknikal dan kewangan pada masa hadapan.
Sila rujuk kepada Lampiran untuk maklumat terperinci definisi PKS.
Perusahaan Penyelenggaraan Kenderaan Bermotor: Potensi bagi PKS
Majlis telah diberi taklimat mengenai prestasi perusahaan penyelenggaraan kenderaan bermotor pada tahun 2004 dan potensi bagi pembangunan PKS dalam perusahaan ini oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Pada akhir tahun 2004, jumlah kenderaan yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan adalah sebanyak 13.45 juta dan kira-kira 450,000 merupakan kenderaan baru yang didaftarkan pada tahun 2004. Kini, terdapat hampir 20,000 bengkel di negara ini. Jumlah kenderaan yang semakin meningkat di jalan raya dan permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan, di samping halangan kemasukan yang agak rendah memberi peluang untuk penyertaan seterusnya oleh PKS dalam industri ini. Majlis bersetuju mengenai pentingnya latihan yang berterusan serta peningkatan kemahiran pengendali bengkel untuk mereka memberi perkhidmatan yang berdaya saing selaras dengan kemajuan teknologi dalam industri automotif.
Urus Setia Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan
Bank Negara Malaysia
9 Jun 2005
LAMPIRAN : Definisi Standard PKS
Pertanian Asas
Definisi Umum:
"Sesebuah PKS dalam pertanian asas merupakan sebuah perusahaan yang mempunyai tidak lebih daripada 50 orang pekerja sepenuh masa atau jumlah perolehan tahunan tidak melebihi RM5 juta."
Definisi Khusus:
"Sesebuah perusahaan mikro dalam pertanian asas ialah perusahaan yang mempunyai kurang daripada 5 orang pekerja sepenuh masa atau jumlah perolehan tahunan kurang RM200,000."
"Sesebuah perusahaan kecil dalam pertanian asas ialah perusahaan yang mempunyai antara 5 hingga 19 orang pekerja sepenuh masa atau jumlah perolehan tahunan antara RM200,000 hingga kurang daripada RM1 juta."
"Sesebuah perusahaan sederhana dalam pertanian asas ialah perusahaan yang mempunyai antara 20 hingga 50 orang pekerja sepenuh masa atau jumlah perolehan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta."
Perkilangan (termasuk Asas Tani) dan Perkhidmatan Berkaitan Perkilangan
Definisi Umum:
"Sesebuah PKS dalam perkilangan (termasuk asas tani) dan perkhidmatan berkaitan perkilangan merupakan sebuah perusahaan yang mempunyai tidak lebih daripada 150 orang pekerja sepenuh masa atau jumlah perolehan tahunan tidak melebihi RM25 juta."
Definisi Khusus:
"Sesebuah perusahaan mikro dalam perkilangan (termasuk asas tani) dan perkhidmatan berkaitan perkilangan ialah perusahaan yang mempunyai kurang daripada 5 orang pekerja sepenuh masa atau jumlah perolehan tahunan kurang daripada RM250,000."
"Sesebuah perusahaan kecil dalam perkilangan (termasuk asas tani) dan perkhidmatan berkaitan perkilangan ialah perusahaan yang mempunyai antara 5 hingga 50 orang pekerja sepenuh masa atau jumlah perolehan tahunan antara RM250,000 hingga kurang daripada RM10 juta."
"Sesebuah perusahaan sederhana dalam perkilangan (termasuk asas tani) dan perkhidmatan berkaitan perkilangan ialah perusahaan yang mempunyai antara 51 hingga 150 orang pekerja sepenuh masa atau jumlah perolehan tahunan antara RM10 juta hingga RM25 juta."
Sektor Perkhidmatan (termasuk Teknologi Maklumat dan Komunikasi)
Definisi Umum:
"Sesebuah PKS dalam sektor perkhidmatan (termasuk teknologi maklumat dan komunikasi) merupakan sebuah perusahaan yang mempunyai tidak lebih daripada 50 orang pekerja sepenuh masa atau jumlah perolehan tahunan tidak melebihi RM5 juta."
Definisi Khusus:
"Sesebuah perusahaan mikro dalam sektor perkhidmatan (termasuk teknologi maklumat dan komunikasi) ialah perusahaan yang mempunyai kurang daripada 5 orang pekerja sepenuh masa atau jumlah perolehan tahunan kurang daripada RM200,000."
"Sesebuah perusahaan kecil dalam sektor perkhidmatan (termasuk teknologi maklumat dan komunikasi) ialah perusahaan yang mempunyai antara 5 hingga 19 orang pekerja sepenuh masa atau jumlah perolehan tahunan antara RM200,000 hingga kurang daripada RM1 juta."
"Sesebuah perusahaan sederhana dalam sektor perkhidmatan (termasuk teknologi maklumat dan komunikasi) ialah perusahaan yang mempunyai antara 20 sehingga 50 orang pekerja sepenuh masa atau jumlah perolehan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta."
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.