Rundingan dalam Pembelian dan Penjualan Kepentingan Saham Institusi Berlesen di Bawah Kawal Selia Bank Negara Malaysia
Selaras dengan sistem kewangan Malaysia yang semakin matang dan menuju ke arah persekitaran yang lebih dinyahkawal selia, Bank Negara Malaysia mengumumkan bahawa proses bagi pembelian atau penjualan saham institusi berlesen di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia, yang menetapkan bakal pembeli atau penjual boleh berunding dengan lebih daripada satu pihak, kini telah dilaksanakan secara rasmi. Pihak-pihak yang bercadang untuk memulakan rundingan bagi tujuan pembelian atau penjualan kepentingan secara agregat saham institusi kewangan berlesen di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989, Akta Insurans 1996, Akta Bank Islam 1983, Akta Takaful 1984, dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002, sebanyak lima peratus atau lebih, boleh mengemukakan niat mereka untuk berunding dengan lebih daripada satu pihak secara serentak. Pihak yang berminat (bakal pembeli dan/atau penjual) dikehendaki mendapatkan persetujuan daripada Bank Negara Malaysia terlebih dahulu sebelum memulakan rundingan berkenaan terma dan syarat cadangan pembelian atau penjualan saham institusi berlesen. Persetujuan boleh diberikan untuk rundingan dengan lebih daripada satu pihak. Mengikut peruntukan perundangan yang berkaitan, kelulusan daripada Menteri Kewangan melalui Bank Negara Malaysia diperlukan sebelum sebarang perjanjian atau pengaturan ditandatangani atau dimuktamadkan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.