Salah Laporan Mengenai Ringgit

Embargo: Untuk siaran segera
18 Jun 2015 Siaran Akhbar

Kenyataan ini dibuat susulan beberapa laporan media yang kurang tepat dan mengelirukan kebelakangan ini berkaitan dengan Bank Negara Malaysia mengenai faktor-faktor yang menjadi penyebab turun naik kadar pertukaran Ringgit. 
 
Bank Negara Malaysia ingin menegaskan bahawa pergerakan semasa nilai Ringgit dipengaruhi oleh perkembangan global dan dalam negeri. Perkembangan global termasuklah jangkaan pelabur berhubung dengan dasar monetari bank-bank pusat utama serta trend harga minyak mentah dan gas. Faktor-faktor dalam negeri termasuklah kebimbangan terhadap entiti berkaitan kerajaan dan isu berkaitan penarafan. Ketidakpastian terhadap mana-mana isu ini telah menyebabkan turun naik nilai Ringgit.  Sungguhpun perkembangan di luar negeri adalah di luar kawalan mana-mana ekonomi yang bersifat terbuka, segala usaha perlu diambil untuk mencari penyelesaian terhadap isu-isu dalam negeri yang sedang dihadapi oleh  ekonomi negara. Apabila isu-isu tersebut diselesaikan, prestasi ringgit dijangka kembali selaras dengan asas-asas ekonomi dan prospek pertumbuhan negara yang kukuh.
 
Bank Negara Malaysia kekal fokus terhadap peranan dan mandatnya dalam memelihara kestabilan monetari dan kewangan serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan. Bank Negara Malaysia tidak pernah dan tidak akan terpengaruh oleh agenda politik tetapi akan terus melaksanakan mandatnya dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat negara ini.


Bank Negara Malaysia
18 Jun 2015

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?