Sasana Symposium 2025 Membahaskan Pembaharuan Struktur demi Malaysia yang Berdaya Tahan
Sasana Symposium 2025 (SS2025) anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) mengetengahkan keperluan yang berterusan untuk mengambil tindakan bersama ke arah memajukan pembaharuan struktur demi daya tahan negara untuk jangka masa panjang.
Acara selama dua hari ini menghimpunkan para pembuat dasar, pemimpin daripada industri, ahli akademik dan wakil masyarakat madani di Sasana Kijang pada 17 dan 18 Jun. Bertemakan “Structural Reforms: Building a Resilient Malaysia”, perbincangan tertumpu pada isu-isu ekonomi dan kewangan utama melalui 23 sesi panel, bual bicara santai dan bengkel. Topik yang dibincangkan merangkumi aset digital, inflasi dan kos sara hidup, jaringan keselamatan sosial, kos perubatan dan penjagaan kesihatan, serta kewangan iklim.
Salah satu sorotan utama SS2025 ialah pelancaran Hab Inovasi Aset Digital (Digital Asset Innovation Hub) oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim. Inisiatif ini bertujuan untuk merangsang inovasi kewangan dalam persekitaran yang terkawal bagi para peserta mengkaji idea baharu, serta memberikan input untuk memperhalus rangka kerja pengawalseliaan dan keselamatan. Langkah ini adalah untuk menyokong pembangunan aset digital dan aplikasi teknologi kewangan terkini di Malaysia. SS2025 juga akan menyaksikan pelancaran Makmal Inovasi Kewangan Iklim (Climate Finance Innovation Lab, CFIL) oleh Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3).
Gabenor BNM Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “Pembaharuan struktur bukan sesuatu yang boleh ditangani oleh satu-satu institusi atau mana-mana individu secara bersendirian. Pendekatan seluruh negara diperlukan. Pembaharuan dan dasar bukan sekadar idea di atas kertas, bahkan boleh menghasilkan perbezaan yang nyata dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia.”
“Melalui sesi panel, bual bicara santai dan bengkel, kami bukan sekadar berkongsi inisiatif yang dilaksanakan, malah matlamat yang ingin dicapai. Topik perbincangan seperti literasi kewangan, aset digital, kewangan iklim dan juga pembaharuan bagi penjagaan kesihatan merupakan bidang yang membentuk asas ke arah menjadikan Malaysia negara yang lebih kukuh dan berdaya tahan,” tambah beliau.
Berikutan sambutan yang diterima pada tahun-tahun sebelumnya, SS2025 sekali lagi menampilkan Bazar iTEKAD. Pada tahun ini, sebanyak 14 daripada lebih 10,000 usahawan mikro yang telah mendapat manfaat daripada program kewangan sosial iTEKAD akan mempamerkan produk mereka. Disokong oleh industri kewangan, iTEKAD menyediakan kewangan campuran (blended financing) dan latihan berstruktur untuk membantu para usahawan ini mengembangkan perniagaan mereka.
Bersempena dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, para peserta berpeluang meneroka Terowong ASEAN sepanjang dua hari. Terowong ASEAN ialah sebuah pameran imersif mengenai pencapaian ekonomi dan kewangan ASEAN. Menerusi seni tampak dan bunyi, pameran ini memaparkan usaha penting BNM dalam menyokong peralihan ASEAN kepada ekonomi rendah karbon dan berdaya tahan iklim, serta menggalakkan kesalinghubungan pembayaran segera. Peserta juga boleh mempelajari inisiatif seperti Rangka Kerja Transaksi Mata Wang Tempatan dan usaha untuk meningkatkan literasi kewangan.
Untuk maklumat lanjut mengenai program SS2025, sila layari bnm.gov.my/ss2025.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.